KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Kerajaan akan mengumumkan berita baik berkenaan pelan pemulihan melibatkan mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang yang berlaku awal April, pada minggu ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata perkara itu akan diumumkan bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Beliau bagaimanapun, tidak mendedahkan perkara itu dengan lebih terperinci.
“Saya dan Dato’ Menteri Besar akan membuat pengumuman berita baik, pelan pemulihan terbaik dan tidak pernah dilakukan kepada mangsa kebakaran dalam sejarah negara kita.
[caption id="attachment_592274" align="alignleft" width="500"] Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Ngar Kor Ming bercakap ketika sidang media lawatan kerja Program Sentuhan Kasih KPKT ke Selangor di Taman Tasik Cempaka, Hulu Langat pada 11 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]
“Kita akan buat pengumuman minggu ini juga dan saya harap bersabar, sedikit masa saja lagi. Nantikan berita baik yang akan disampaikan,” katanya kepada media selepas Majlis Pecah Tanah Pembangunan Rumah Belia MADANI dan Rumah Mampu Milik Mukim Batu di sini hari ini.
Majlis dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar.
Dalam perkembangan lain, Nga berkata Kerajaan MADANI mengalu-alukan semua pihak untuk membantu kerajaan mencapai sasaran 500,000 unit Rumah Mampu Milik menjelang akhir tahun ini.
Beliau yakin sasaran itu dapat dicapai memandangkan 95 peratus atau 468,000 unit rumah itu telah disiapkan termasuk yang mendapat kelulusan kebenaran merancang.
Terdahulu, Nga dalam ucapan aluan pada majlis itu berkata perdana menteri akan melancarkan projek rumah mampu milik terbesar dalam negara di Pulau Pinang Jun ini, melibatkan 38,000 unit rumah manakala 13,000 unit kediaman lagi akan ditawarkan pada pelancaran Bandar MADANI Malaysia.
“Sebelum ini, kita ada sembilan orang perdana menteri yang mempunyai rancangan hendak membuat rumah mampu milik tapi tiada seorang berjaya mencapai sasaran.
“Tetapi petang ini, saya hendak beritahu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, Kerajaan MADANI tetapkan sasaran nak membina 500,000 unit rumah mampu milik dan sehingga kini telah mencapai 95 peratus.
“Di bawah konsep MADANI, perdana menteri selalu menekankan kita kena bersikap ihsan dan kita berikan harapan kepada rakyat dengan kepimpinan perdana menteri yang merangkumi projek berpusatkan rakyat,” katanya.
- BERNAMA