AGENDA

Pamer tunggangan memukau, Hakim Danish raih podium di GP Sepanyol

27 Apr 2025, 1:30 AM
Pamer tunggangan memukau, Hakim Danish raih podium di GP Sepanyol

KUALA LUMPUR, 27 APRIL: Pelumba muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli mempamerkan tunggangan memukau apabila menamatkan perlumbaan satu Grand Prix (GP) Sepanyol saingan Rookies Cup di kedudukan podium semalam.

Pada perlumbaan berlangsung di Litar Jerez, pelumba berusia 17 tahun itu menduduki tempat kedua dengan perbezaan 0.037 saat (s) selepas dipintas pelumba tuan rumah, Brian Uriarte di selekoh terakhir yang mencatat masa 25 minit 37.402s untuk meraih tempat pertama.

Tempat ketiga menjadi milik pelumba Indonesia, Veda Pratama dengan catatan 25:40.629s.

"Saya tidak terlalu gembira dengan keputusan ini (P2) kerana kehilangan satu kedudukan.

"Bagaimanapun, ia perlumbaan yang sangat bagus sebagai permulaan untuk musim ini. Saya melakukan kesilapan yang sangat kecil pada pusingan terakhir dan ini memberi peluang kepada Uriarte," katanya menerusi kenyataan di laman sesawang rasmi perlumbaan.

Untuk rekod, pelumba kelahiran Terengganu itu pernah meraih kedudukan podium sama pada perlumbaan kedua edisi 2024 di litar berkenaan.

Kejayaan podium tersebut menyaksikan Hakim Danish mengutip 20 mata di belakang Uriarte yang mengungguli carta kedudukan dengan 25 mata.

Perlumbaan kedua saingan itu akan berlangsung 2.45 petang ini waktu Malaysia.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619