AGENDA

Majlis TVET Negara salur RM1 juta kepada Unisel perkasa kursus TVET

26 Apr 2025, 12:20 PM
Majlis TVET Negara salur RM1 juta kepada Unisel perkasa kursus TVET

BAGAN DATUK, 26 APRIL: Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara telah menyalurkan peruntukan RM1 juta kepada Universiti Selangor (Unisel), bagi mengendalikan kursus berkaitan TVET yang relevan dengan permintaan pasaran.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kursus TVET yang dikendalikan di universiti itu juga, menjanjikan permulaan gaji yang baik sekali gus meningkatkan taraf kehidupan pelajar lepasan TVET.

“Walaupun gaji minimum telah ditetapkan oleh kerajaan sebanyak RM1,700, tetapi insya-Allah lepasan TVET terutamanya daripada Unisel gaji minimum insya-Allah majikan akan berikan sebanyak RM3,000, dengan syarat kursus-kursus itu mesti sesuai dengan keperluan pasaran.

“Saya sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara juga merasakan bahawa enam buah MTUN (Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia), akan terus menjalinkan kerjasama dengan pemain-pemain industri supaya kursus-kursus yang ditawarkan oleh enam MTUN ini, benar-benar bersesuaian dengan permintaan pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Karnival Raya Bagan Datuk Sempena Jelajah Malaysia Madani Unisel Depani, dengan kerjasama Parlimen Bagan Datuk di Dataran Waterfront Bagan Datuk di sini hari ini.

Turut hadir Naib Presiden dan Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti Unisel Prof Madya Dr Hamdan Mohd Salleh.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merasmikan Pogram Submodul Inisiatif Transformasi Desa (INTRADE), melibatkan 119 orang Kadet Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di Dewan Armada Utama, Politeknik Bagan Datuk.

Program berkenaan merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Tahun 2024/2025.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam, program tersebut merupakan manifestasi komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkasakan rakyat melalui pembangunan luar bandar berlandaskan nilai kesejahteraan, yang menekankan keseimbangan pembangunan fizikal dan sosial.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619