AGENDA

Bank Dunia: Pertumbuhan KDNK Malaysia diunjur 3.9 peratus tahun ini

26 Apr 2025, 12:45 AM
Bank Dunia: Pertumbuhan KDNK Malaysia diunjur 3.9 peratus tahun ini

KUALA LUMPUR, 26 APRIL: Bank Dunia mengunjurkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 3.9 peratus tahun ini berikutan cabaran global.

Dalam catatan di platform X menerusi akaun @ApurvaSanghi, Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Apurva Sanghi menyatakan, “Dengan mengambil kira semua kemungkinan kekangan, kami (Bank Dunia) mengunjurkan kadar pertumbuhan 2025 Malaysia pada 3.9 peratus.”

Bank Dunia juga memaklumkan unjuran pertumbuhan bagi negara ASEAN lain, dengan Vietnam dijangka mendahului pada 5.8 peratus, diikuti Indonesia (4.7 peritus), Filipina (5.3 peritus), Kemboja (4.0 peritus) dan Thailand (1.6 peritus).

Selain itu, unjuran bagi kadar pertumbuhan China adalah pada 4.0 peratus.

Semalam, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2025 yang pada masa ini disasarkan antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus mungkin perlu disemak turun berikutan kesan tarif Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata bagaimanapun, BNM tidak akan tergesa-gesa untuk melaraskan unjuran itu memandangkan belum ada sebarang perkembangan muktamad buat masa ini.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menerusi laporan Tinjauan Ekonomi Dunia April 2025 bertajuk “A Critical Juncture amid Policy Shifts” yang dikeluarkan pada Rabu, menurunkan unjuran pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia bagi 2025 kepada 4.1 peratus daripada 4.7 peratus, seiring dengan penurunan unjuran seluruh rantau.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619