PBT

MBDK ambil maklum isu kerja turapan jalan di Pelabuhan Klang

25 Apr 2025, 9:59 AM
MBDK ambil maklum isu kerja turapan jalan di Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 25 APRIL: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengambil maklum terhadap segala isu berkaitan termasuk berhubung kualiti kerja turapan jalan yang dibangkitkan wakil rakyat Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri, baru-baru ini.

MBDK dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menjalankan pemantauan secara berterusan bagi memastikan kualiti kerja turapan jalan mencapai piawaian yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“MBDK akan memastikan segala isu yang berkaitan diambil langkah pembaikan. Selain itu, pemantauan dari masa ke masa dilakukan bagi memastikan kualiti kerja turapan di tapak mencapai piawaian yang ditetapkan,” katanya.

Menurut MBDK, pada tarikh kejadian pihak kontraktor sedang menjalankan kerja penurapan jalan di Persiaran Permai 1 dan Persiaran Permai 3 bermula jam 10.30 pagi hingga 7 petang, dengan kehadiran Azmizam kira-kira jam 6.30 petang.

Jelasnya, berhubung dakwaan tiada semburan 'tack coat' semasa turapan premix dilaksanakan, bahagian tersebut sebenarnya masih belum dilakukan kerja turapan.

Bagi dakwaan terdapat sisa binaan di kawasan turapan, kata MBDK, pihak kontraktor telah menghentikan sementara kerja turapan bagi melaksana kerja pembersihan untuk penyediaan asas jalan.

“MBDK juga merakamkan penghargaan kepada Azmizam yang sentiasa memberi maklum balas terhadap kerja-kerja yang dijalankan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang demi kesejahteraan bersama,” katanya.

Kelmarin, tular di media sosial apabila Azmizam menzahirkan rasa kecewa dengan kualiti jalan yang sedang diturap di kawasan Kota Pendamar, Pelabuhan Klang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619