SHAH ALAM, 25 APRIL: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menggempur premis peruncitan yang dikendali warga asing menerusi Operasi Bersepadu Premis Warga Asing di Puncak Alam, kelmarin.
MPKS menerusi hantaran di Facebook memaklumkan operasi bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dibuat bagi membanteras aktiviti perniagaan tidak sah yang dijalankan oleh warga asing.
“Jabatan Penguatkuasa MPKS telah mengambil tindakan terhadap dua kedai serbaneka yang dikendalikan warga Bangladesh dengan menarik balik lesen perniagaan dan mengeluarkan notis memberhentikan operasi.
“Sebuah premis runcit yang dikendalikan warga Myanmar turut dikenakan kompaun atas kesalahan berniaga tanpa lesen, selain disita peralatan perniagaan dan dikeluarkan notis penutupan,” katanya.
Dalam operasi sama, MPKS turut mengenakan dua kompaun terhadap sebuah premis makanan yang gagal menjaga kebersihan kawasan penyediaan dan pengendali makanan.
Menurutnya, SSM juga mengeluarkan kompaun kepada satu premis kerana tidak mempamerkan papan tanda dan nombor pendaftaran perniagaan.
“Tindakan bersepadu seumpama ini akan diteruskan bagi memelihara kepentingan penduduk setempat serta memastikan persekitaran perniagaan yang bersih, teratur dan mematuhi syarat pelesenan yang ditetapkan,” katanya.