SHAH ALAM, 24 APRIL: Pelajar mendapat keputusan gred cemerlang iaitu A+, A dan A- bagi semua subjek dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Selangor meningkat sebanyak 0.50 peratus berbanding tahun lepas.
Pengarah Pendidikan Selangor Dr Jafri Abu berkata bilangan calon memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau gred C bagi semua mata pelajaran juga meningkat sebanyak 0.04 peratus.
"Jumlah calon memperoleh semua A meningkat sebanyak 2,368 berbanding tahun lalu seramai 2,005.
“Manakala seramai 22,501 calon (34.67 peratus) telah memperoleh sekurang- kurangnya lulus atau gred E semua mata pelajaran yang diduduki pada 2024 berbanding 21,071 calon (33.06 peratus) pada tahun 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan SPM Selangor di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor di sini, hari ini. Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato Sri Amirudin Shari.
Jafri menambah Gred Purata Negeri (GPN) SPM 2024 untuk Selangor adalah 4.59 mata dan turut mencatatkan peningkatan iaitu 0.08 mata berbanding 4.67 pada tahun lalu.
Menurutnya lagi, berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP), sebanyak 29 daripada 57 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi dan 26 mata pelajaran menunjukkan penurunan prestasi (GPMP) berbanding peperiksaan tahun 2023.
"Prestasi enam mata pelajaran teras meningkat manakala Pendidikan Moral, tidak mengalami perubahan mata GPMP.
“Mata pelajaran Bahasa Inggeris menunjukkan prestasi tertinggi sebanyak 0.23 mata GPMP sebanyak 0.23 mata iaitu 4.30 mata pada tahun 2024 banding 4.53 mata (2023),” katanya lagi.
Beliau menambah, empat mata pelajaran bagi mata pelajaran elektif sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), sains tulen dan matematik tambahan juga menunjukkan peningkatan prestasi.
Pada masa sama, Jafri turut merakamkan penghargaan kepada Dato’ Menteri Besar yang juga EXCO pendidikan negeri terus mendokong usaha meningkatkan pencapaian pendidikan di Selangor.
“Jabatan Pendidikan Negeri Selangor menghargai kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, guru dan ibu bapa atas kerjasama menjayakan insiatif seperti Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS),” ujarnya.