SHAH ALAM, 23 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mencatat kutipan zakat RM1.22 bilion sepanjang tahun lalu, tertinggi dalam sejarah penubuhannya.
Ketua pegawai eksekutifnya berkata daripada jumlah itu, RM1.19 bilion diagihkan kepada lebih 370,000 asnaf di seluruh Selangor setakat Disember tahun lalu.
[caption id="attachment_698060" align="aligncenter" width="790"] Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Mohd Khaidzir Shahari ketika sidang media di Menara Zakat Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 23 April 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
“Pencapaian direkodkan ini merupakan tahun ketiga berturut-turut LZS melepasi paras kutipan dan agihan zakat melebihi RM1bilion. Ini membuktikan kepercayaan lebih 380,000 pembayar zakat kepada LZS.
“Bagi kutipan, zakat pendapatan kekal sebagai penyumbang utama iaitu RM712 juta, manakala zakat perniagaan (RM199 juta), zakat simpanan (RM130 juta), zakat harta (RM70 juta) dan zakat fitrah (RM41 juta).
“Untuk agihan zakat pula mencatat peningkatan tiga peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu RM1.15 bilion. Kategori asnaf fakir dan miskin menerima agihan tertinggi dengan nilai RM707 juta,” kata Mohd Khaidzir Shahari.
Bercakap pada sidang media di ibu pejabat LZS di sini hari ini, beliau turut memberitahu agihan zakat kepada golongan memerlukan masih dilaksana dan akan berakhir pada Jun.
Tambahnya, LZS mengagihkan zakat mengikut kerangka terancang meliputi pembangunan sosial, pendidikan, institusi keagamaan, pembangunan insan dan ekonomi.
[caption id="attachment_698059" align="aligncenter" width="814"] Pengerusi Lembaga Zakat Selangor Tan Sri Syed Anwar Jamalullail ketika sidang media di Menara Zakat Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 23 April 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Sementara itu, Pengerusinya Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata agensi itu yakin sasaran kutipan zakat RM2 bilion menjelang 2030.
Menurutnya, sasaran berkenaan mampu dicapai pihaknya berdasarkan pencapaian membanggakan selama tiga tahun berturut-turut melebihi RM1 bilion.
“Kutipan terbaharu dicapai dengan kesungguhan LZS menyantuni semua pembayar zakat sama ada perniagaan atau pendapatan termasuk yang belum melaksanakannya.
"Kita berterima kasih dengan semua pembayar zakat dan pada masa sama akan terus santuni semua yang berkemampuan menunaikan zakat tetapi masih belum berbuat demikian,” katanya.
[caption id="attachment_698063" align="aligncenter" width="816"] Pengerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) Tan Sri Syed Anwar Jamalullail (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Khaidzir Shahari melancarkan buku Laporan Kelestarian LZS 2024 edisi kedua bertemakan "Enhancing Livelihood" ketika sidang media di Menara Zakat Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 23 April 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]