AGENDA

PM: Usaha berterusan perlu dilakukan perkukuh struktur perkhidmatan awam

22 Apr 2025, 9:48 AM
PM: Usaha berterusan perlu dilakukan perkukuh struktur perkhidmatan awam

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Usaha berterusan perlu dilakukan bagi memperkukuh struktur perkhidmatan awam agar kekal mampan, responsif dan sejajar dengan keperluan semasa negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibangkitkan beliau sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) Bilangan 1 Tahun 2025, pagi ini.

“Susulan kejayaan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa 1 dan melalui proses libat urus yang berterusan, pelbagai cadangan inisiatif dasar baharu perkhidmatan awam telah dibincangkan.

“Ini termasuk mengenai mobiliti dan portabiliti penjawat awam, demi memastikan mereka lebih berdaya saing di masa hadapan,” kata beliau menerusi catatan di Facebook.

Perdana Menteri berkata beliau percaya bahawa pembaharuan itu harus dilaksanakan secara teliti dan inklusif, dengan mengutamakan kepentingan rakyat, kebajikan penjawat awam serta kemampuan fiskal negara.

SSPA menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang berkuat kuasa pada 1 Dis 2024 mengutamakan prestasi perkhidmatan awam dan mendahulukan kebajikan penjawat awam.

Ia dirangka sebagai satu sistem saraan yang berteraskan kepada aspek prestasi, selaras dengan hasrat untuk memastikan peningkatan produktiviti dalam perkhidmatan awam dan menjaga kesejahteraan pegawai, prinsip pemberian ganjaran berasaskan prestasi dan tatakelakuan.

Di bawah SSPA, pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang memilih skim berkenaan, akan menerima pelarasan gaji sebanyak 15 peratus secara berfasa iaitu lapan peratus bagi Fasa 1 pada Dis 2024, manakala tujuh peratus untuk Fasa 2 pada Jan 2026.

Sementara itu, Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT) akan menerima pelarasan gaji tujuh peratus dengan empat peratus bagi Fasa 1 dan tiga peratus bagi Fasa 2.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619