ADN

ADN Batu Tiga: Usaha atasi banjir di Padang Jawa terus dipergiat

21 Apr 2025, 5:00 AM
ADN Batu Tiga: Usaha atasi banjir di Padang Jawa terus dipergiat

SHAH ALAM, 21 APRIL: Langkah mitigasi dekat kawasan Padang Jawa telah dilaksanakan supaya banjir kilat tidak berlaku, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga.

Danial Al-Rashid berkata kawasan itu agak rendah menyebabkan air dari kawasan yang tinggi akan tertumpu ke situ hingga menyebabkan banjir minggu lalu.

“Kita dah buat langkah mitigasi, kita dah pecahkan tembok laluan air di bawah terowong KTM. Di kawasan Sekolah Kebangsaan Padang Jawa telah selesai.

“Keadaan sebenarnya akan lebih teruk kalau ada air pasang besar,” katanya ketika ditemui pada Majlis Lebaran Rahmah Aidilfitri DUN Batu Tiga di Dewan MBSA Kekwa Seksyen 17 di sini, semalam.

Danial berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk menyelesaikan masalah itu sejak dilantik wakil rakyat dua tahun lalu.

“Kita cari jalan untuk menyelesaikan. Usaha sedang dilaksanakan. Insya-Allah, doakan masalah banjir di Padang Jawa selesai,” katanya.

Banjir kilat yang melanda Shah Alam minggu lalu menejejaskan beberapa kawasan termasuk Taman Sri Muda, Padang Jawa, Seksyen 23, Jalan Batu 3 Lama, Persiaran Budiman dan Persiaran Jubli Perak.

Lebih 1,000 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara seperti Dewan Kenanga Seksyen 28 dan Sekolah Kebangsaan Seksyen 16.

Susulan itu, Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari mengarahkan tindakan segera diambil, termasuk mengadakan mesyuarat koordinasi bersama pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619