AGENDA

Azizulhasni perlu bersaing dengan pelumba lain bagi merebut tempat

20 Apr 2025, 12:06 PM
Azizulhasni perlu bersaing dengan pelumba lain bagi merebut tempat

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Pengarah teknikal skuad berbasikal trek kebangsaan John Beasley berkata Datuk Mohd Azizulhasni Awang tidak akan menyertai acara individu pada Kejohanan Dunia 2025 di Santiago, Chile dari 15 hingga 19 Oktober depan.

Sebaliknya, beliau berkata pelumba dengan julukan The Pocket Rocketman itu akan dipertimbangkan untuk menyertai acara pecut berpasukan.

Bagaimanapun, Beasley berkata Mohd Azizulhasni perlu merebut tempat dalam pasukan secara merit.

“Mohd Azizulhasni sedar bahawa beliau perlu berusaha sekuat mungkin untuk melayakkan diri menyertai pasukan.

“Tiada tempat secara automatik buat dirinya dalam pasukan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) di sini hari ini.

Mohd Azizulhasni perlu bersaing dengan pelumba muda seperti Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Umar Hasbullah, Mohamad Akmal Nazimi Jusena selain Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhamad Ridwan Sahrom.

Semalam, juara dunia keirin 2017 itu mengumumkan keputusan untuk meneruskan kayuhan bagi tempoh dua tahun akan datang dan bergerak secara profesional mewakili Team Azizul selepas Majlis Sukan Negara (MSN) menyalurkan geran individu sebanyak RM200,000 hingga 2026.

Antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan MSN kepada pelumba berusia 37 tahun itu ialah persediaan menghadapi Sukan Asia 2026 dan Sukan Komanwel 2026.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619