SHAH ALAM, 20 APRIL: Selangor mencatatkan jumlah jemaah haji paling tinggi iaitu 8,338 orang, dengan daerah Hulu Langat mempunyai paling ramai bakal haji tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dato’ Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, Hulu Langat merekodkan 2,771 jemaah haji diikut daerah Petaling 2,593 orang.
“Bakal haji ini telah menjalani 13 siri Kursus Asas Haji, Kursus Intensif dan hari ini merupakan hari kemuncak iaitu Kursus Perdana Haji.
“Kursus Perdana Haji ini lebih fokus kepada praktikal manasik haji yang bakal dilalui oleh setiap jemaah haji,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Kursus Perdana Haji Peringkat Selangor Musim 1446H/2025H.
[caption id="attachment_697635" align="alignleft" width="500"] Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dato' Dr Mohd Na'im Mokhtar berucap sempena majlis penyempurnaan Kursus Perdana Haji (KPH) peringkat negeri Selangor 1446H di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 April 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Majlis tersebut disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Keberangkatan Baginda diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Syed Hamadah Syed Othman.
Dalam pada itu, Mohd Naim berkata Tabung Haji sentiasa komited menjaga kebajikan dan keselamatan semua jemaah haji Malaysia malah turut menjadi contoh bagi negara Islam lain.
Menurutnya, kejayaan itu tidak akan tercapai tanpa kerjasama dan disiplin tinggi yang ditunjukkan jemaah haji Malaysia saban tahun.
“Saya berharap jemaah haji tahun ini dan akan datang dapat mengekalkan prestasi dan nama baik Selangor dan Malaysia amnya,” katanya.
Kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota 31,600 jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini dengan penerbangan pertama dijadual pada 29 April, manakala kumpulan terakhir pada 30 Mei ini.