ad
AGENSI

Aras air stesen Bukit Changgang lepasi tahap bahaya, penduduk sekitar dinasihat waspada

20 Apr 2025, 3:19 AM
Aras air stesen Bukit Changgang lepasi tahap bahaya, penduduk sekitar dinasihat waspada

SHAH ALAM, 20 APRIL: Paras air di stesen Bukit Changgang mencapai 4.37 meter, melepasi paras bahaya Sungai Langat setakat 10 pagi tadi.

Berdasarkan infografik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, stesen Kampung Sungai Selisik pula berada paras amaran pada bacaan 26.8 meter.

Selain itu, empat stesen berada pada tahap waspada iaitu Rantau Panjang (6.53 meter), Dengkil (6.66 meter), Jambatan S.K.C (18.21 meter) dan Kampung Timah Bukit Beruntung (18.93 meter).

Sementara itu, Pengarah JPS Selangor Dato Ir Ts Mohd Nazri Yasmin berkata pemeriksaan di lapangan dilakukan JPS Kuala Langat mengesahkan ketinggian aras Sungai Langat di kawasan Bukit Changgang mencapai 4.37 meter melepasi paras bahaya Sungai Langat.

“Namun, berdasarkan aras tertinggi ban Sungai Langat 4.90 meter masih dapat mengawal aliran air daripada melimpahi Sungai Langat.

“Selain itu, terdapat empat pam di Sungai Langat beroperasi iaitu di Bukit Changgang, RTB Bukit Changgang, Paya Rumput dan Labohan Dagang,” katanya dihubungi Selangorkini.

Susulan itu, beliau menasihati orang ramai terutama penduduk Bukit Changgang dan kawasan sekitar sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi banjir jika berlaku.

“JPS akan terus memantau perkembangan aras Sungai Langat dan mengoperasikan rumah pam bagi memastikan aliran air dalaman kawasan penduduk dapat di salur keluar ke Sungai Langat,” ujarnya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.