AGENDA

Gaza kian tenat: Bantuan terputus, tekanan emosi makin memuncak

18 Apr 2025, 3:13 AM
Gaza kian tenat: Bantuan terputus, tekanan emosi makin memuncak

WASHINGTON, 18 APRIL: Lebih dua juta penduduk kini masih terperangkap di Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Stephane Dujarric pada Khamis.

“Lebih dua juta orang masih terkurung di dalam Gaza. Permusuhan yang berterusan dan bekalan bantuan yang semakin berkurangan telah meningkatkan tekanan emosi terutamanya dalam kalangan kanak-kanak, dengan keperluan kesihatan mental yang semakin mendesak saban hari,” kata Dujarric kepada wartawan.

Memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Dujarric berkata bekalan bantuan kemanusiaan kini hampir kehabisan sejak Israel mengenakan sekatan penuh terhadap kemasukan kargo ke Gaza pada 2 Mac lalu.

Beliau turut berkata bahawa bekalan air telah terjejas teruk akibat konflik, dengan hampir 90 peratus infrastruktur air dilaporkan rosak atau tidak berfungsi.

“Kami ingin menegaskan semula bahawa Israel, sebagai kuasa pendudukan, mempunyai tanggungjawab yang jelas di bawah undang-undang antarabangsa termasuk memastikan makanan, bekalan perubatan dan perkhidmatan kesihatan awam disediakan serta memudahkan bantuan kemanusiaan sekiranya keperluan-keperluan ini tidak dapat dipenuhi dengan cara lain,” tegas Dujarric.

Mengulas mengenai keadaan di Tebing Barat, beliau berkata ribuan penduduk dipaksa berpindah dan tidak dapat kembali ke kediaman masing-masing berikutan operasi berterusan oleh tentera Israel di bahagian utara wilayah itu.

-BERNAMA-ANADOLU

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619