AGENDA

Siti Nurhaliza anggap persembahan untuk Presiden Xi sebagai penghormatan besar

17 Apr 2025, 11:00 AM
Siti Nurhaliza anggap persembahan untuk Presiden Xi sebagai penghormatan besar

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin menyifatkan peluang membuat persembahan pada majlis makan malam rasmi bagi meraikan Presiden China Xi Jinping serta delegasinya di Putrajaya pada Rabu malam, sebagai satu penghormatan besar.

Penghargaan itu dikongsi Siti Nurhaliza menerusi satu catatan di akaun TikTok hari ini.

“Setulus terima kasih atas jemputan dan kesempatan berharga ini. Semoga jalinan persembahan antara Malaysia dan China terus mekar dan kukuh,” katanya.

Menerusi perkongsian itu, penyanyi nombor satu negara itu turut berkongsi video selama 1 minit 54 saat mengenai persembahan beliau di Seri Perdana pada majlis makan malam sempena lawatan negara Presiden Xi yang dihoskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Siti Nurhaliza dilihat mendendangkan lagu irama Malaysia, Cindai dan lagu klasik Mandarin "The Moon Represents My Heart" nyanyian asal Chen Fen-lan yang dikeluarkan pada 1973 dan dirakamkan semula oleh penyanyi Taiwan, Teresa Teng pada 1977.

Menerusi video yang dikongsi, persembahan Siti Nurhaliza dilihat menerima tepukan daripada Xi, Anwar dan delegasi China.

Presiden Xi mengadakan lawatan negara tiga hari ke Malaysia bermula Selasa sehingga Khamis atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Ini merupakan lawatan rasmi kedua pemimpin China itu ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun selepas kunjungan terakhir beliau pada 2013, yang menyaksikan kedua-dua negara meningkatkan hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

Lawatan Xi adalah sebahagian daripada siri Lawatan Negara pertama Presiden China untuk tahun ini yang turut merangkumi Vietnam dan Kemboja.

Malaysia dan China mewujudkan hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974.

Kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun lepas.

Selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, China kekal sebagai rakan perdagangan terbesar Malaysia dengan nilai dagangan antara kedua-dua negara RM484.12 (US$1=RM4.41) bilion pada 2024, yang mewakili 16.8 peratus jumlah perdagangan global Malaysia (RM2.88 trilion).

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619