AGENDA

Malaysia, China perkukuh hubungan ekonomi, teknologi baharu termasuk AI

16 Apr 2025, 12:14 PM
Malaysia, China perkukuh hubungan ekonomi, teknologi baharu termasuk AI

PUTRAJAYA, 16 APRIL: Malaysia komited untuk bekerjasama dengan China dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama merangkumi ekonomi, perdagangan dan pelaburan, serta teknologi baharu termasuk Kecedasan Buatan (AI), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Malaysia melihat China bukan sahaja sebagai rakan karib dan negara jiran, tetapi juga sebagai rakan kongsi penting melalui perkongsian strategik komprehensif yang mencerminkan kepercayaan mendalam dan kerjasama yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

"Apabila kita bertemu di China (2023), (Presiden) Xi (Jinping) dilihat menampilkan persona baharu, kepimpinan yang bercakap mengenai pertumbuhan dan pelaburan serta kemajuan ekonomi dan menangani kemiskinan dan ia terbukti," katanya ketika menyampaikan ucapan sebelum bermulanya mesyuarat dua hala antara kedua-dua negara, di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden China Xi Jinping di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini.

Xi dan delegasinya yang tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri pada 5.05 petang, disambut mesra oleh Anwar. Kehadiran Presiden China itu turut disambut dengan persembahan kebudayaan oleh Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), dan Xi kemudiannya menandatangani buku pelawat sebelum meneruskan mesyuarat dua hala tertutup.

Anwar berkata wawasan Xi untuk berkongsi kemakmuran dan kemajuan tamadun adalah penting kerana cita-cita itu jarang diutarakan oleh pemimpin-pemimpin dunia.

"Kami mengagumi keazaman anda, dan untuk itu rakyat Malaysia mengalu-alukan anda, bukan hanya sebagai Presiden sebuah negara besar, tetapi juga sebagai sahabat sejati.

"Kami akan bekerjasama dalam pelbagai bidang usaha, dalam ekonomi, perdagangan, pelaburan dan teknologi baharu termasuk inisiatif AI dan semua kaedah berkaitan yang telah kami bincangkan selama bertahun-tahun lamanya.

"Xie Xie atas kepimpinan dan persahabatan anda," katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli, dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Menteri Kabinet lain yang hadir ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Malaysia dan China telah menjalinkan hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974. Kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun lepas.

Selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia.

Jumlah dagangan antara kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion pada 2024, mewakili 16.8 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan global Malaysia (RM2.88 trilion).

-- BERNAMA

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619