AGENDA

Keluar BAM atau kekal, Pearly-Thinaah diberi ruang pertimbang hala tuju

16 Apr 2025, 8:51 AM
Keluar BAM atau kekal, Pearly-Thinaah diberi ruang pertimbang hala tuju

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan memberi ruang kepada beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah untuk mempertimbangkan hala tuju mereka bersama badan induk itu dengan sebaiknya.

Memandangkan rundingan pembaharuan kontrak antara kedua-dua pihak masih berlangsung, Pemangku Presiden BAM Datuk V Subramaniam berkata mereka tidak terburu-buru dan menghormati keperluan gandingan itu untuk menilai pilihan yang ada.

“Saya tidak menetapkan tempoh tertentu (sebagai tarikh akhir untuk Pearly-Thinaah menandatangani pembaharuan kontrak) kerana kami juga memberikan kelonggaran kepada pemain untuk berfikir dengan teliti.

“Kadang-kadang pemain mungkin mendapat nasihat tertentu. Biarlah mereka berfikir dahulu, tiada masalah kerana mereka masih bersama kami,” katanya ketika ditemui selepas sidang media kejohanan Masters Malaysia 2025 di sini hari ini.

Subramaniam berkata BAM sentiasa menjaga kebajikan pasangan kelima dunia itu menerusi pelbagai bentuk pelaburan selama ini.

Beliau berkata pelaburan yang dilakukan bukanlah kecil sebaliknya melibatkan jumlah yang besar demi menyokong perkembangan dan keperluan pemain.

“Harapan kami agar mereka terus bersama, bermain, berlatih bersungguh-sungguh, bekerja keras dan membawa pulang pingat untuk negara,” katanya.

Terdahulu, spekulasi Pearly-Thinaah mahu meninggalkan BAM dan bergerak secara profesional bertiup kencang selepas kedua-dua pemain itu belum menandatangani kontrak baharu selepas kontrak sedia ada tamat Disember lepas.

Sementara itu, Subramaniam berkata pihaknya memberi kelonggaran kepada beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang dipisahkan baru-baru ini, sama ada menerima tawaran menyertai Program Road to Gold (RTG) atau tidak.

Gandingan Tang Jie-Ee Wei antara 16 atlet yang dipilih menyertai program berkenaan sebagai persediaan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619