KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah mencatatkan peningkatan manakala di Johor kekal setakat pagi ini berbanding petang semalam.
Di Sabah, jumlah mangsa banjir bertambah kepada 228 orang daripada 75 keluarga pagi ini berbanding 203 mangsa daripada 67 keluarga semalam dengan kesemua mereka ditempatkan di PPS masing-masing di Beaufort dan Keningau.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan 152 mangsa daripada 54 keluarga masih berada di sebuah PPS di Beaufort manakala 76 mangsa daripada 21 keluarga turut ditempatkan di satu PPS di Keningau.
“Lapan kampung masih terjejas banjir, iaitu enam di Beaufort dan dua kampung di Keningau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu di Johor, jumlah mangsa yang berlindung di PPS kekal 56 orang daripada 17 keluarga setakat 8 pagi ini, dengan Segamat menjadi satu-satunya daerah masih terjejas sepertimana petang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata dua PPS yang beroperasi, iaitu PPS Balai Raya Kampung Batu Badak menempatkan 41 mangsa manakala PPS Dewan Komuniti Kampung Tasek melibatkan 15 mangsa dari Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5 Jalan Muar, yang mula dipindahkan sejak Isnin lalu.
“Keadaan cuaca yang dilaporkan setakat 8 pagi ini menunjukkan semua daerah berada dalam keadaan cerah dan tiada laporan hujan lebat serta ribut petir.
“Dua lokasi sungai di daerah Segamat dilaporkan berada pada paras amaran, iaitu Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam dengan bacaan 3.61 meter dan Sungai Muar di Buloh Kasap dengan bacaan 8.68 meter,” katanya dalam kenyataan.
- BERNAMA