SHAH ALAM, 14 APRIL: Dasar Orang Kurang Upaya (OKU) Selangor yang menjamin kebajikan lebih menyeluruh kepada golongan tersebut dijangka dilancar Jun ini.
Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) berkata dasar merangkumi sembilan perkara antaranya prasarana, pekerjaan dan kualiti hidup dirangka dengan terperinci termasuk menerusi sesi libat urus bersama kira-kira 130 persatuan berkaitan OKU.
“Dasar OKU dirangka dengan mengaambil kira pandangan pelbagai pihak. Hujung bulan ini penyelidik dari Universiti Selangor (Unisel) akan bentangkan draf ketiga yang mungkin draf akhir.
“Seterusnya dapatan itu dibentangkan kepada pemegang taruh termasuk persatuan OKU sebelum dibentangkan dalam Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES). Jika lulus, kita jangka boleh lancar Jun,” kata Danial Al-Rashid Haron kepada Media Selangor.
Beliau berkata dasar itu akan menjadi panduan kepada semua pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) dalam merangka dan melaksanakan inisiatif lebih inklusif terhadap OKU.
“Apabila selesai dilancar, kita akan buat ‘road tour’ untuk bentangkan semula kepada pemegang taruh dan pelaksana. Supaya pihak berkaitan tahu, sudah ada standart penyediaan pembangunan dan dan perkara berkaitan golongan itu,” katanya.
Sebelum ini, EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata dasar tersebut yang juga mesra penjaga golongan OKU itu akan memberi penekanan khusus prasarana mesra OKU dan sokongan kepada penjaga mereka.