ad
BUDAYA

Dari (Kaca) Mata, Turun ke Hati

13 Apr 2025, 2:46 PM
Dari (Kaca) Mata, Turun ke Hati

Oleh Zulzafry Zulkifly

Pepatah Inggeris in another person’s shoes mungkin sudah boleh diubah kepada ‘memakai kaca mata orang lain’. Kerana kaki tidak mampu melihat sesuatu yang berada di atas. Kadang terselindung oleh para dan kabinet lain yang menghalang.

Berbeza dengan kaca mata yang berkongsi sudut pandang dengan mata manusia. Apa yang dilihat mata manusia, dilihat juga oleh kaca mata. Malah, kaca mata juga yang menjadi wadah pembawa perasaan daripada indera mata ke hati: “dari (kaca) mata, turun ke hati”.

Apakah yang akan dilihat dan dirasakan oleh kaca mata? Mungkin sama sahaja dengan apa yang dirasakan oleh manusia.

Antropomorfisme adalah atribusi sifat, karakteristik, atau emosi manusia kepada makhluk lain, objek, atau konsep yang bukan manusia. Ini sering terjadi dalam sastera dan seni seperti dalam dongeng, fabel, dan filem animasi di mana haiwan atau benda mati bertindak seperti manusia.

Konsep ini kembali diketengahkan dengan jayanya oleh penulis muda, Mudin Haiqal melalui cerpen-cerpennya yang terbit di Selangorkini.

Melalui cerpen Sang Raja Romawi kita dibawa melihat sudut pandang seekor singa yang diculik dari ranah habitatnya ke sebuah koloseum lalu dipaksa menjadi bahan pertunjukan. Mahkota rimba yang selama ini melekat di jemalanya seakan tertanggal apabila ketuanannya diabaikan dan baginda dipaksa menjadi bahan pertunjukan.

Daripada cerpen Perut Tidak Lagi Kosong pula kita menjadi sebuah negeri kecil yang selama ini diejek kerana mempunyai penduduk yang sedikit (lima orang). Ternyata isi perut negeri kecil inilah yang memuntahkan sebegitu ramai manusia yang berkelana mencari kehidupan di negeri orang. Setelah tiba musim raya, mereka ini kembali pulang memenuhi perut negeri kecil ini menjadikannya senak dan buncit semula.

Segala Jenis Ubat memperlihatkan kita pandangan dan kisah objek kecil dan dianggap remeh oleh sesetengah orang. Syiling yang mungkin terdampar tidak dihargai, terbiar di dasar longkang atau berkongsi habitat dengan batu-batu kerikil ada kalanya membawa erti besar kepada golongan kurang bernasib baik. Melalui amalan sedekah, nilai remeh yang dikandung syiling kecil ini boleh membawa maksud dan kegembiraan besar kepada sesetengah orang.

Kisah-kisah berkonsep antropomofisme ini sangat dekat dengan jiwa masyarakat kita. Sejak bangku sekolah, sudah diperkenalkan karangan bersifat autobiografi sesebuah objek. Mahu ia sebatang pen, sebuah buku atau apa sahaja. Cerita inilah yang digunakan buat diisi di kertas peperiksaan.

Melalui idea dasar ini, penulis memperkembangkan lagi cerita dengan mencari sudut pandang yang jarang dilihat orang atau mungkin sudah dilupakan sejak melangkah bendul usia. Watak-watak remeh yang kita lihat dan tahu sehari-hari mengandungi peranan dan konflik mereka tersendiri. Mahu ia seekor singa yang kehilangan mahkota, negeri kecil yang sering diperlekeh atau watak sekeping syiling yang kadang berada di bawah telapak kasut.

Singa di rimba mungkin dianggap raja, namun di pentas kolosium, hanya badut penghibur hati pada zaman kegemilangan rom. Negeri terpencil di tangkai jantung pisang negara ini sebenarnya juga melahirkan manusia-manusia penting yang menjalankan ekonomi sehari-hari negara. Dan sekecil syiling mungkin berharga pada orang-orang ditimpa bencana.

Mengarang cerita berkonsep antropomorfism menggesa penulis untuk melihat daripada sudut pandang yang berbeza. Latar masa dan tempatnya juga tidak pernah dijelajahi secara nyata oleh manusia. Hal ini melibatkan ruang kecil di dalam tabung, pentas besar di koloseum dan kedudukan teratas di negara jantung pisang.

Terdapat dua kaedah mengarang kisah-kisah objek ini. Pertama, penulis boleh berkongsi pandangan peribadi melalui penaakulan mendalam terhadap keseharian atau kehidupan sepanjang layar sejarah mereka. Misalnya, penulis melihat sekeping syiling yang membantu golongan susah membeli keperluan kehidupan seharian mereka; makanan, pakaian, ubat. Atau mungkin cakap-cakap orang tentang negeri kecil berpenghuni lima orang.

Kaedah kedua dalam menghasilkan cerita-cerita sebegini adalah dengan meletakkan diri sendiri sebagai barang atau watak tersebut atau memakai kaca mata sebuah objek.

Di dalam perutku (sebuah negeri) setelah lama kurus oleh manusia, akhirnya senak dan penuh kala tiba hari raya. Di mata sekeping syiling, adalah kegelapan yang dilihat waktu menggelongsor masuk ke dalam tabung sumbangan sebelum akhirnya digunakan membeli segala macam ubat.

Apa pun cara yang digunakan oleh penulis (Mudin Haiqal), pastinya cerita yang terhasil dari tarian tangannya pada papan kekunci dilihat berjaya membawa sebuah cerita yang menyelusuri sejarah, konflik dan kehidupan benda-benda yang dipilih menjadi subjek.

Mungkin mustahil untuk penulis menjadi sekeping syiling, seekor singa atau sebuah negeri. Jadi memakai kaca mata objek ini mungkin membantu dalam menghasilkan sesebuah cereka.

Satu-satunya objek yang berkongsi sudut pandang yang sama dengan manusia adalah kaca mata. Apa yang dilihat manusia, dilihatnya, perasaan yang terbit pada hati manusia, mengalir dahulu pada tubuh badannya, malah tanpa keberadaannya manusia rabun mungkin tidak mampu meneruskan keberlangsungan hidup dengan pandangan yang separa nampak separa tidak.

Memakai kaca mata orang, kita dapat tahu kesengsaraan kehidupan sehariannya di dalam rumah, dilemanya di dalam masjid, jatuh cinta pandang pertama kepada gadis penjaga kaunter dan segala macam lagi.

Oleh itu, mungkin wajar diwujudkan sebuah lagi pepatah: memakai kaca mata orang lain. Agar dengan itu, pandangan kita tidak ditinggalkan di ambang pintu atau beranda masjid waktu pemilik menanggalkan kasut ketika melangkah masuk ke dalam suatu tempat suci. Malah, kasut juga tidak mampu melihat apa yang dilakukan tangan di atas meja, mungkin ia menyerahkan wang haram atau mengambil sebahagian daripada harta orang.

Jadi selepas ini, boleh kita berikan pula kaca mata yang kita pakai kepada seekor haiwan di banat rimba, kepada sebuah negeri yang sering dilupa dan juga sekeping syiling yang masuk ke tabung sumbangan. Mungkin saja, benda-benda ini akan menulis cerita tentang manusia kepada rakyatnya dengan bahasa ngauman atau dentingan yang hanya mereka mengerti.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.