ad
AGENDA

Banjir Selangor pulih, semua 218 mangsa pulang ke rumah hari ini

13 Apr 2025, 12:00 PM
Banjir Selangor pulih, semua 218 mangsa pulang ke rumah hari ini
Banjir Selangor pulih, semua 218 mangsa pulang ke rumah hari ini
Banjir Selangor pulih, semua 218 mangsa pulang ke rumah hari ini
Banjir Selangor pulih, semua 218 mangsa pulang ke rumah hari ini

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Situasi banjir di Selangor pulih sepenuhnya apabila kesemua 218 mangsa daripada 63 keluarga dibenarkan pulang manakala jumlah mangsa di Sabah meningkat sedikit dan di Johor pula berkurangan pada petang ini.

Di Selangor, kesemua mangsa yang ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Petaling dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing pagi tadi.

EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi berkata empat PPS berkenaan ialah Dewan Kenanga Seksyen 28, Sekolah Kebangsaan (SK) Shah Alam Seksyen 16 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 16 di Shah Alam serta Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya Camelia (MBSJ) di Subang Jaya.

“Kesemua mangsa sudah mula dibenarkan pulang sejak semalam apabila banjir mulai surut di beberapa kawasan di daerah Klang serta Petaling,” katanya ketika dihubungi hari ini.

[caption id="attachment_692494" align="alignleft" width="500"] EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi bercakap kepada media pada Program Kick-Off Sambutan 10 Tahun Hijrah Selangor di Bazar Ramadan Taman Putra Perdana pada 20 Mac 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Petaling Huzunul Khaidil Mohammed mengisytiharkan penutupan PPS SK Seksyen 16 dan SMK Seksyen 16 di Shah Alam yang menempatkan mangsa banjir dari Kampung Padang Jawa pada 1 tengah hari.

Beliau berkata Dewan Serbaguna MBSJ Camelia Putra Heights yang menempatkan mangsa banjir dari Kampung Tengah, Kampung Bukit Lanchong, Kampung Kuala Sungai Baru pula diisytiharkan tutup pada 5 petang.

“Dewan Kenanga yang turut menempatkan mangsa banjir dari Kampung Bukit Lanchong dan Kampung Lanchong Jaya ditutup 6 petang,” katanya menerusi kenyataan.

Di Sabah, Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat sedikit iaitu daripada 683 orang (186 keluarga) pagi tadi kepada 687 orang daripada 191 keluarga petang ini.

Kesemua 475 orang daripada 121 keluarga dipindahkan ke enam PPS di daerah Nabawan manakala jumlah mangsa banjir di dua PPS di Sook kekal iaitu 212 orang daripada 70 keluarga.

"Sebanyak 30 kampung di Nabawan dan dua kampung di Sook terjejas akibat bencana banjir berikutan hujan berterusan di kawasan pedalaman Sabah itu, masing-masing terletak 174 kilometer (km) dan 147 km arah Selatan dari Kota Kinabalu," katanya.

[caption id="attachment_696536" align="aligncenter" width="1203"] Mangsa terjejas banjir dibenarkan pulang selepas Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Seksyen 16, Shah Alam ditutup jam 12 tengah hari tadi berikutan banjir kilat dilaporkan surut pada 13 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Sementara itu, laman rasmi sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan beberapa kawasan di Sabah pada petang hingga malam mengalami ribut petir dengan suhu antara 21-34 darjah Celsius.

Di Johor, 163 mangsa daripada 52 keluarga masih terjejas hingga 4 petang, berbanding 177 mangsa daripada 58 keluarga pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata setakat ini satu daerah masih terjejas iaitu di Batu Pahat selain satu PPS beroperasi di SMK Seri Gading.

Beliau berkata mangsa terdiri penduduk Kampung Baharu Sri Gading; Kampung Parit Bengkok; Kampung Parit Kaspan; Kampung Parit Samion; Kampung Parit Haji Salleh Ros; Kampung Parit Sri Muar; Kampung Sri Pandan dan Kampung Parit Samijan.

“Sungai Senggarang di daerah Batu Pahat berada pada paras amaran iaitu 3.16 meter dan Sungai Batu Pahat berada pada paras waspada iaitu 2.30 meter.

“Sementara itu, hingga 4 petang, cuaca di dua daerah iaitu Mersing dan Tangkak dilaporkan mendung manakala lain-lain daerah dilanda hujan. Amaran ribut petir juga dikeluarkan terhadap semua daerah di negeri ini pada sebelah petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

- BERNAMA

[caption id="attachment_696537" align="aligncenter" width="1168"] Sukarelawan menyusun kit sumbangan Yayasan Sime Derby yang diserahkan kepada mangsa selepas keluar dari Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Seksyen 16, Shah Alam yang ditutup jam 12 tengah hari berikutan banjir kilat dilaporkan surut pada 13 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.