SHAH ALAM, 13 APRIL: Sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dijalankan di pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa insiden letupan saluran gas bagi memastikan pelajar terjejas tidak tercicir.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor memaklumkan sesi di PPS Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia itu dilaksana pada 2 hingga 4 April serta 7 hingga 11 April melibatkan 21 petugas.
Jelasnya, program kendalian Pasukan Sokongan Akademik (AST) bukan hanya memfokuskan kepada PdP malah menggunakan pendekatan bimbingan dan aktiviti sokongan bagi memulihkan semangat pelajar.
“Pengisian utama ialah pemberian modul instruksional kepada murid-murid sebagai panduan pembelajaran kendiri. Petugas AST membimbing mereka menyiapkan latihan modul serta melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran berpasangan atau berkumpulan.
“Pendekatan ini dilihat mampu meningkatkan sokongan rakan sebaya serta memulihkan motivasi dan minat terhadap pembelajaran,” menurut JPN Selangor di Facebook hari ini.
[caption id="attachment_696466" align="alignnone" width="842"] Pasukan Sokongan Akademik (AST) dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor menjalankan Sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di PPS Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia pada 7 hingga 11 April 2025. Foto Facebook Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor[/caption]
JPN menjelaskan pelbagai aktiviti menarik dan interaktif turut dilaksana seperti kemahiran membaca, menulis dan bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris, asas Matematik selain aktiviti berkait pendidikan seni visual.
“Usaha ini membuktikan komitmen kami dan Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana dalam memastikan murid terus memperoleh pendidikan berkualiti dalam apa jua keadaan,” katanya.
Pada 7 April, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan guru dihantar ke PPS bagi membantu pelajar selepas melihat mangsa dalam kalangan berkenaan masih mengalami trauma.
Selain PdP, Kerajaan Negeri turut menyediakan khidmat van transit atas permintaan bagi membawa pelajar yang masih menghuni PPS ke sekolah.
Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI turut menyerahkan sumbangan RM500 kepada 265 pelajar selain Yayasan Islam Darul Ehsan turut menyediakan pakaian seragam dan kelengkapan sekolah.