SUBANG JAYA, 12 APRIL: Suasana suram di Kampung Kuala Sungai Baru bertukar sedikit ceria apabila lebih 1,000 sukarelawan turun padang membantu kerja-kerja pembersihan pasca insiden letupan saluran gas Petronas pada 1 April lalu.
Disertai pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), bomba dan tentera, Ops Mega Pembersihan ini bertujuan meringankan beban mangsa yang kehilangan tempat tinggal serta harta benda.
Operasi pembersihan bermula 8.30 pagi itu dimulakan dengan pengagihan tugas seperti menebang pokok, membersihkan longkang dan membuang barangan rosak di sekitar kediaman.
[caption id="attachment_696373" align="aligncenter" width="684"] Anggota tentera turut membantu operasi pembersihan Kampung Kuala Sungai Baru pada 12 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Ketua Kampung Fiqrie Jusdean memaklumkan sebanyak 121 rumah terkesa akibat letupan tersebut, dengan 53 daripadanya musnah sepenuhnya.
“Sukarelawan bersihkan kawasan luar, jadi bila mangsa pulang, mereka hanya perlu kemas bahagian dalam rumah,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, mangsa kejadian, Nur Aisyah Mat Rejab, 37, berkata kehadiran sukarelawan itu membantu dia dan suami membuang semua barangan rumah yang hangus dan tidak boleh digunakan lagi.
Katanya, dia hanya menemui sebahagian duit raya yang mahu diberikan kepada anak-anak jiran sempana Aidilfitri ini.
[caption id="attachment_696372" align="aligncenter" width="680"] Sukarelawan membawa sampah keluar dari kawasan terjejas akilbat insiden kebakaran saluran gas di Kampung Kuala Sungai Baru pada 12 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Ada jumpa dalam RM100 lebih. Duit itu dah terbakar separuh. Ada yang maklumkan boleh ganti di bank. Barangan lain semua musnah,” katanya.
Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melepaskan konvoi sukarelawan berkenaan yang bergerak dari Majlis Bandaraya Subang Jaya menuju ke lokasi.
Ops Mega Pembersihan disertai 12 PBT, polis, tentera, bomba selain KDEBWM dan Sukarelawan Selangor (Serve) seliaan Majlis Sukan Negeri (MSN).
Insiden kebakaran saluran paip gas Petronas pada 8.10 pagi pada 1 April menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan memakan masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
[caption id="attachment_696371" align="aligncenter" width="685"] Antara sukarelawan dan anggota daripada pelbagai agensi digerakkan dalam operasi mega pembersihan di kawasan terjejas akilbat insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights dan Kampung Kuala Sungai Baru pada 12 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Kebakaran turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi kejadian.