AGENDA

Skim pelaburan palsu: Empat datuk antara lapan individu ditahan, rampas aset RM3.17 bilion

11 Apr 2025, 8:55 AM
Skim pelaburan palsu: Empat datuk antara lapan individu ditahan, rampas aset RM3.17 bilion

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lapan individu dan merampas aset bernilai RM3.17 bilion dipercayai berkait rapat dengan skim penipuan pelaburan jenis Ponzi dikenali sebagai Pelaburan MBI yang berpusat di sebuah negara jiran.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata mereka yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita termasuk dua usahawan serta dua peguam masing-masing bergelar ‘Datuk’ berusia lingkungan 44 hingga 62 tahun.

Beliau berkata tangkapan dilakukan pada 20 Mac lepas oleh pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Ketua Polis Negara (USKPN) dalam Op Northern Star melalui tindakan rentas negara yang dilaksanakan hasil maklumat Notis Merah daripada Interpol.

“Kesemua suspek direman antara satu hingga tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Razarudin berkata dalam beberapa siri serbuan, pasukan AMLA turut berjaya melaksanakan pembekuan dan penyitaan pelbagai aset dengan jumlah keseluruhan dianggarkan RM3.7 bilion antaranya 638 akaun bank dan akaun saham berjumlah lebih RM1.16 bilion serta 35 unit hartanah bernilai RM2.01 bilion.

Turut dirampas 10 kenderaan mewah, 12 jam tangan mewah, wang tunai dalam pelbagai mata wang, dua barang kemas, dua komputer riba, enam telefon bimbit, empat beg tangan mewah serta pelbagai dokumen penting.

“Semua harta dan barang yang disita dipercayai merupakan hasil perolehan haram daripada aktiviti penipuan pelaburan terbabit,” katanya.

Beliau berkata PDRM akan meneruskan siasatan terhadap mana-mana individu atau entiti yang disyaki terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pengubahan wang haram berkaitan skim pelaburan itu.

Razarudin turut menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada serta mengelakkan diri daripada terlibat dalam sebarang aktiviti mencurigakan dan tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membanteras jenayah itu.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619