SHAH ALAM, 11 APRIL: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Petaling susulan banjir di beberapa kawasan sekitar Shah Alam hari ini.
Pegawai Daerah Petaling Huzunul Khaidil Mohammed berkata penduduk Kampung Bukit Lanchong yang terjejas ditempatkan di PPS Dewan Kenanga Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 28.
“Manakala PPS Sekolah Kebangsaan Seksyen 16 Shah Alam menempatkan mangsa banjir dari Kampung Padang Jawa.
“PPS ini akan beroperasi sepanjang tempoh diperlukan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
[caption id="attachment_696113" align="aligncenter" width="815"] Keadaan banjir kilat di Sri Muda pada 11 April 2025. Foto Media Selangor[/caption]
Sementara itu, EXCO pengurusan bencana memaklumkan seramai 60 mangsa terjejas banjir di Kampung Padang Jawa melibatkan 50 dewasa dan 10 kanak-kanak.
Mohd Najwan Halimi menambah jumlah mangsa akan dikemas kini dari semasa ke semasa susulan usaha pemindahan masih berjalan.
Laman sesawang info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai turut dibuka bagi menempatkan 134 mangsa daripada 33 keluarga setakat ini.
Selain Shah Alam dan Klang, Puchong dan Hulu Langat turut dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi
Setakat 12 tengah hari, paras air stesen Pekan Meru 4.47m berbanding normal 2.8m dan Taman Desa Kemuning, Klang 4.17m (normal 1.5m)
Dua lagi stesen iaitu Dengkil, Sepang mencatat 7.6m berbanding normal 3.9m dan Bukit Changgang Kuala Langat 4.79m (normal 1.9m).