ad
AGENDA

301 rumah insiden Putra Heights selamat diduduki, kerja baik pulih boleh dilakukan

10 Apr 2025, 10:20 AM
301 rumah insiden Putra Heights selamat diduduki, kerja baik pulih boleh dilakukan

SUBANG JAYA, 10 APRIL: Sebanyak 301 rumah terjejas insiden letupan saluran gas Petronas di Putra Heights minggu lalu disahkan selamat diduduki sekali gus membolehkan kerja baik pulih dilakukan.

Ketua polis Selangor berkata pengesahan dibuat pihak bomba, Tenaga Nasional Berhad selain Jabatan Kerja Raya (JKR) yang turut menggunakan peralatan khas Ultrasonic Pulse Velocity bagi mengesan pengukuhan bangunan.

“Hasilnya konsisten dengan penilaian dibuat ke atas 301 rumah berkenaan. Penghuni dibenarkan balik untuk menjalankan kerja membaiki.

“Setakat ini, daripada jumlah berkenaan 190 penghuni sudah balik ke rumah mereka,” kata Datuk Hussein Omar Khan pada sidang media di pos kawalan pusat kejadian, dekat sini hari ini.

Beliau berkata pemilik yang risau dan curiga dengan tahap keselamatan rumah mereka boleh membuat laporan untuk pemeriksaan lanjut.

“Kita sudah jalankan pemeriksaan munasabah oleh agensi berkaitan dan ambil kira pendapat mereka bahawa rumah selamat. Jadi penghuni boleh buat pembaikan rumah.

“Majlis Bandaraya Subang Jaya akan buka kaunter untuk tindakan pihak berkaitan. Proses ini kita sudah susun dan dipersetujui bagi mempercepatkan proses pemulihan,” katanya.

Sementara itu Hussein memaklumkan siasatan forensik di lokasi kejadian masih belum berjalan dan memerlukan masa termasuk memastikan tapak kejadian stabil.

Jelasnya kerja menstabilkan struktur tanah di kawasan berkenaan berjalan perlahan walaupun dilakukan secara 24 jam berikutan hujan dan air bertakung.

"Kita akan berusaha lakukan kerja ini secepat mungkin. Kerja perlu dilakukan dengan teliti kerana terdapat dua lagi paip yang kita perlu jaga selain tidak mahu merosakkan apa-apa struktur yang mungkin merupakan bukti kejadian," katanya.

Hussein berkata pihaknya telah menjalan kerja mengorek di lokasi sehingga 10 meter dalam bagi mendedahkan sepenuhnya paip gas yang terlibat dalam kejadian itu.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.