ad
AGENSI

Sidec hasrat tubuh agensi khas, bantu syarikat semikonduktor tempatan cari bakat terbaik

10 Apr 2025, 10:00 AM
Sidec hasrat tubuh agensi khas, bantu syarikat semikonduktor tempatan cari bakat terbaik
Sidec hasrat tubuh agensi khas, bantu syarikat semikonduktor tempatan cari bakat terbaik
Sidec hasrat tubuh agensi khas, bantu syarikat semikonduktor tempatan cari bakat terbaik

Oleh Danial Dzulkefly

SHAH ALAM, 10 APRIL: Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) berhasrat menubuhkan sebuah agensi pengambilan pekerja khusus bagi membantu syarikat semikonduktor tempatan mendapatkan bakat kritikal.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata agensi berkenaan menumpukan kepada pencarian bakat terbaik untuk firma semikonduktor yang beroperasi di Selangor, terutamanya yang berpangkalan di Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC).

[caption id="attachment_696039" align="aligncenter" width="812"] Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) Yong Kai Ping berucap pada program Pembangunan Industri Semikonduktor Dua Hala Brazil x Malaysia di Four Points by Sheraton, Subang Jaya pada 10 April 2025. Foto HARUN TAJUDIN /MEDIA SELANGOR[/caption]

“Industri ini memerlukan set kemahiran yang sangat khusus dan pengetahuan teknikal yang mendalam. Ramai rakyat Malaysia yang mempunyai kepakaran ini kini bekerja di luar negara, seperti Taiwan, Vietnam dan terutamanya di Singapura.

“Mereka ini biasanya berada pada peringkat kanan, dan kita perlu ‘headhunt’ mereka untuk bekerja bersama kakitangan junior bagi mempercepatkan pembangunan,” kata Yong Kai Ping.

Beliau ditemui di Program Pembangunan Industri Semikonduktor Dua Hala Brazil x Malaysia yang berlangsung di Four Points by Sheraton hari ini.

Kai Ping berkata, walaupun agensi peringkat nasional seperti TalentCorp merangkumi pelbagai sektor, industri semikonduktor memerlukan pendekatan yang lebih khusus dan berasaskan teknikal yang mendalam.

“Skop TalentCorp sangat luas. Apa yang kami lakukan ini sangat khusus. Kami memberi tumpuan kepada perkhidmatan foundry, reka bentuk IC, digital, analog dan bidang-bidang khusus lain.

“Ini adalah kerja teknikal mendalam yang kebanyakan orang di luar industri mungkin tidak faham sepenuhnya. Sebab itulah kami percaya sebuah agensi khusus boleh menyediakan penyelesaian yang lebih tepat untuk ekosistem semikonduktor,” katanya.

Tambah Kai Ping, Sidec sedang menilai sama ada inisiatif ini akan beroperasi di bawah struktur sedia ada syarikat itu atau akan diwujudkan sebagai entiti baharu yang hanya menumpukan kepada pengambilan bakat untuk sektor semikonduktor.

[caption id="attachment_656459" align="aligncenter" width="810"] Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar pada Majlis Pelancaran Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) semikonduktor di Menara 4, Pusat Korporat Kewangan Puchong (PFCC), Subang Jaya pada 6 Ogos 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI[/caption]

Katanya, agensi yang dicadangkan itu juga akan melengkapi usaha latihan Sidec melalui Akademi Semikonduktor Lanjutan Malaysia (Asem), terutamanya dalam menempatkan graduan dalam peranan yang relevan dan menyediakan peningkatan kemahiran teknikal yang kritikal.

Ketika ini, kampus khusus untuk Asem sedang dibina di Cyberjaya, berhampiran dengan Taman Reka Bentuk IC Selangor 2 yang akan ditempatkan dalam hab teknologi Cyberview.

Sementara itu, Taman Reka Bentuk IC Selangor pertama di Puchong, yang terletak di Pusat Korporat Kewangan Puchong dan meliputi keluasan kira-kira 5,575 meter persegi, kini telah diduduki sepenuhnya oleh pemain semikonduktor global seperti MaiStorage, Skyechip, Weeroc, AppAsia ChipsBank, dan SensoremTek Sdn Bhd.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.