ad
AGENDA

Mark Milligan tinggalkan Harimau Malaya

10 Apr 2025, 4:06 AM
Mark Milligan tinggalkan Harimau Malaya
Mark Milligan tinggalkan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Ketua jurulatih pasukan Harimau Malaya Peter Cklamovski hari ini mengesahkan penolongnya Mark Milligan tidak lagi bersama pasukan kebangsaan.

Cklamovski memaklumkan perkara itu menerusi hantaran di media sosial rasmi Harimau Malaya dan turut berterima kasih kepada jurulatih kelahiran Australia itu atas sumbangannya kepada pasukan bola sepak negara.

“Sungguhpun tempohnya singkat, beliau membantu langkah pertama bagi tempoh penting untuk persiapan aksi Malaysia menentang Nepal.

“Kami memahami dan menyokong keputusannya untuk mencari peluang di luar negara. Kami mengucapkan segala yang terbaik dalam usaha beliau pada masa hadapan,” katanya.

Milligan, 39, yang merupakan bekas pemain kebangsaan Australia, menyertai revolusi skuad kebangsaan sebagai penolong ketua jurulatih pada Februari lepas.

Sementara itu Milligan juga menerusi hantaran di media sosial Harimau Malaya berkata peluang menjadi sebahagian daripada pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia banyak mengajarnya.

“Pengalaman dan tahap profesionalisme di peringkat elit ini adalah sesuatu yang saya harap dan impikan dalam perjalanan saya ke hadapan,” katanya.

Milligan mengucapkan selamat maju jaya kepada semua warga Harimau Malaya dan penyokong pasukan bola sepak negara dalam usaha kelayakan Piala Asia 2027.

“Terus membangunkan pertumbuhan dan asas yang kukuh untuk memastikan bola sepak Malaysia terus berkembang,” katanya.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.