AGENDA

Laporan akhir nahas pesawat Kapar: Juruterbang bawa agresif, tahap alkohol tinggi

10 Apr 2025, 12:40 AM
Laporan akhir nahas pesawat Kapar: Juruterbang bawa agresif, tahap alkohol tinggi

PUTRAJAYA, 10 APRIL: Juruterbang pesawat Blackshape Gabriél BK 160TR yang terhempas di Kapar, Selangor tahun lepas, didapati melakukan gerakan penerbangan agresif melebihi had kemampuan pesawat, menurut laporan akhir kemalangan itu.

Hal itu menyumbang kepada beban berlebihan yang menjejaskan kekukuhan struktur pesawat justeru membawa kepada pemisahan bahagian ketika penerbangan.

"Kegagalan dan pemisahan bahagian struktur ketika penerbangan akibat tekanan operasi berlebihan pada bahan komposit pesawat yang lemah, dikenal pasti sebagai punca utama nahas pesawat terbabit.

"Kekukuhan struktur pesawat telah terjejas oleh operasi berulang di luar had operasi penerbangan yang diluluskan, termasuk melebihi kelajuan udara maksimum, faktor beban dan had struktur, yang memberi tekanan tidak wajar pada strukturnya," menurut laporan akhir kemalangan pesawat berkenaan yang dikeluarkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) Kementerian Pengangkutan (MOT) semalam.

Selain itu, pemasangan bahagian yang tidak diperakui, terutamanya tie-down rings, melemahkan lagi kekukuhan pesawat dan menyumbang kepada kegagalan itu, menurut laporan tersebut yang diterbitkan di laman web rasmi MOT.

Laporan setebal 204 muka surat itu memaklumkan beberapa faktor menyumbang kepada nahas berkenaan telah dikenal pasti iaitu prestasi juruterbang, penyelenggaraan pesawat, kegagalan organisasi dan pengawasan operasi.

"Pesawat itu menjalani amalan penyelenggaraan yang tidak diluluskan, termasuk pemasangan alat ganti yang tidak diperakui oleh kakitangan yang tidak berkelayakan yang menjejaskan kekukuhan struktur pesawat, menjadikannya lebih terdedah kepada kegagalan ketika penerbangan," menurut laporan itu yang turut menyatakan tiada penumpang boleh selamat daripada nahas tersebut susulan daya nyahpecutan yang besar semasa hentaman.

Sementara itu, dapatan lain menunjukkan kepekatan alkohol dalam darah (BAC) juruterbang terlibat ialah 0.032 peratus iaitu melebihi had yang dibenarkan undang-undang (0.02 peratus) yang mungkin menjejaskan prestasi juruterbang semasa penerbangan.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam laporan sama mencadangkan untuk melaksanakan langkah dipertingkat bagi meneliti operasi penerbangan tidak berjadual dalam Malaysia, khususnya melibatkan pesawat yang didaftarkan di luar negara dan kru pesawat berlesen asing.

Pada 13 Feb lepas, pesawat Blackshape Gabriél BK 160TR yang dikendalikan oleh Aviation Safety Technology Pte Ltd, Singapura, berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor ke kawasan barat Kapar untuk penerbangan riadah atau rekreasi.

Dalam kejadian pada 1.36 petang itu, pesawat berkenaan terhempas di ladang kelapa sawit di Kampung Tok Muda dekat Kapar, Selangor dan ditemukan musnah serta dua individu iaitu juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat itu terkorban.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619