ad
ADN

ADN Kajang gesa isu longkang Bandar Sungai Long tersumbat diselesai

9 Apr 2025, 9:05 AM
ADN Kajang gesa isu longkang Bandar Sungai Long tersumbat diselesai
ADN Kajang gesa isu longkang Bandar Sungai Long tersumbat diselesai

HULU LANGAT, 9 APRIL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang menggesa penyelesaian jangka panjang berhubung isu longkang tersumbat yang menimbulkan bau busuk di kawasan komersial Bandar Sungai Long di sini.

David Cheong Kian Young berkata walaupun dibersihkan secara berjadual, masalah yang berlarutan lebih lima tahun di Jalan SL 1/3, Persiaran Sungai Long kerap berulang berikutan kawasan berkenaan dipenuhi restoran.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan ketidakselesaan kepada masyarakat sekitar teritama ketika hujan apabila air kotor melimpah ke jalan raya yang bukan sahaja berbau busuk tetapi menjejaskan persekitaran.

“Kotoran yang keluar biasanya lemak beku yang kita percaya ia hasil daripada restoran yang tidak mempunyai sistem perangkap lemak dan minyak yang baik dan akhirnya mengalirkan sisa terus ke longkang.

“Selain itu ada kemungkinan saiz pembetung sudah tidak lagi sesuai berdasarkan kapasiti perniagaan di sini yang semakin berkembang terutama kedai makan,” katanya selepas meninjau kerja pembersihan longkang di kawasan itu oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga akan mengaturkan perjumpaan dengan pihak berkaitan termasuk Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan KDEBWM bagi membincangkan penyelesaian jangka panjang kepada isu itu.

“Setiap kali tersumbat, kita panggil KDEBWM. Sampai bila nak biar ia berlarutan dan bertahun-tahun tidak selesai. Kita mahu penyelesaian yang menyeluruh.

“Semua pihak perlu bekerjasama, termasuklah peniaga, pastikan perangkap lemak dan minyak berfungsi. Selain itu pihak berkuasa tempatan juga perlu cakna, sebelum keluar lesen pastikan peniaga restoran ini ada sistem perangkap lemak dan minyak yang sempurna,” katanya.

[caption id="attachment_695881" align="alignnone" width="817"] Petugas KDEB Waste Management (KDEBWM) membersihkan longkang yang tersumbat di sekitar Bandar Sungai Long, Hulu Langat pada 9 April 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Sementara itu, Pengarah Urusan KDEBWM Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata operasi pembersihan longkang menggunakan jentera penyembur air bertekanan tinggi (high pressure water jetter) dan pembersih takungan air (catch basin cleaner).

“Jentera kita bertekanan tinggi, berupaya memecahkan lemak beku yang biasanya menyebabkan tersumbat. Selain itu, ada jadual pembersihan berkala di sini, kadang-kadang bila ada aduan kita datang lebih awal daripada jadual sepatutnya.

“Sebenarnya isu ini perlu tanggungjawab kolektif. Contohnya peniaga main peranan pastikan pasang perangkap minyak dan lemak yang baik di kedai mereka, kita pastikan pembersihan berjadual dan di pihak berkuasa tempatan kalau betul infrastruktur sudah kurang baik, kita perlu baiki,” katanya.

Minggu lalu, David menerusi laman sosialnya memaklumkan menerima aduan berhubung isu itu dan mendapati masalah tersebut berlarutan sekian lama dan menyebabkan kesulitan kepada penduduk setempat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.