AGENDA

Laporan kebakaran dijangka siap awal, pengorekan bermula esok

8 Apr 2025, 2:00 PM
Laporan kebakaran dijangka siap awal, pengorekan bermula esok
Laporan kebakaran dijangka siap awal, pengorekan bermula esok

SUBANG JAYA, 8 APRIL: Kerja pengorekan tanah di kawasan letupan paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights dijangka dilaksana esok selepas kerja pemasangan cerucuk selesai.

Ketua Polis Selangor Dato’ Hussein Omar Khan berkata setakat ini kerja menstabilkan tanah di kawasan terbabit giat dijalankan dan telah mencapai 30 peratus.

“Agensi teknikal seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Jabatan Kerja Raya dan Pertronas masih dalam proses stabilkan tanah babitkan paip-paip terlibat dengan letupan dan kebakaran.

“Kerja menstabilkan tanah kini kira-kira 30 peratus selesai sebelum kerja pemasangan cerucuk bermula. Buat masa ini, jentera berkaitan sudah mula masuk dan jangka kerja pemasangan cerucuk bermula petang ini.

“Kita jangka kerja pemasangan cerucuk siap diletak esok dan seterusnya kerja pengorekan tanah bermula,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Tempat Kejadian, di sini, hari ini.

[caption id="attachment_695435" align="alignnone" width="852"] Pihak berkuasa meneruskan kerja mengeluarkan air bertakung di kawasan kawah yang terbentuk susulan hujan sejak beberapa hari lalu. Foto dirakam pada 7 April 2025. Foto Facebook BERNAMA[/caption]

Pada masa sama, Hussein memaklumkan laporan siasatan awal letupan paip gas yang dijangka siap dalam dua minggu mungkin diperoleh lebih awal berbanding tempoh ditetapkan.

“Untuk percepat proses, semalam kita mengambil dua tindakan baharu iaitu menambah jentera terlibat dengan kerja pengorekan dan kerja-kerja pengoperasian dilaksana selama 24 jam.

“Agensi teknikal berkaitan termasuk Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berada 24 jam untuk memantau, menganalisa dan menyiasat semua aspek termasuk kerja pengorekan sehingga paip yang terdedah dengan kebakaran.

“Tempoh siasatan mungkin lebih cepat berbanding dua minggu sebelum ini dengan dua tindakan baharu ini. Penetapan hari (bila) mungkin agak sukar sebab keadaan kawasan lembap kerana tanah liat selain faktor cuaca,” ujarnya.

Minggu lalu, Hussein memaklumkan laporan awal hasil siasatan letupan paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights di sini dijangka siap dalam tempoh dua minggu.

Jelasnya, laporan berkenaan akan dibentang selepas kerja penstabilan tanah oleh pelbagai agensi di kawasan terjejas selesai sepenuhnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619