ad
AGENDA

Tanpa seragam lengkap, pelajar terjejas kebakaran paip gas tetap semangat ke sekolah

7 Apr 2025, 3:00 AM
Tanpa seragam lengkap, pelajar terjejas kebakaran paip gas tetap semangat ke sekolah
Tanpa seragam lengkap, pelajar terjejas kebakaran paip gas tetap semangat ke sekolah
Tanpa seragam lengkap, pelajar terjejas kebakaran paip gas tetap semangat ke sekolah
Tanpa seragam lengkap, pelajar terjejas kebakaran paip gas tetap semangat ke sekolah

SUBANG JAYA, 7 APR: Insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights di sini tidak mematahkan semangat pelajar terkesan untuk meneruskan sesi persekolahan hari ini.

Pelajar Alysya Hanni Shahir, 15, walaupun tidak dapat berpakaian seragam lengkap, beliau tetap teruja untuk kembali ke sekolah selepas tamat cuti Aidilfitri.

[caption id="attachment_695390" align="aligncenter" width="748"] Pelajar Alysya Hanni Shahir, 15,[/caption]

“Saya pergi sekolah pakai baju biasa sebab masih tidak boleh balik ke rumah ambil pakaian seragam kerana rumah jadi kawasan larangan.

“Saya teruja nak jumpa guru dan rakan-rakan. Mereka memang ada tanya khabar dan beri semangat untuk saya ke sekolah,” katanya ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights.

Alysya Hanni antara 76 pelajar dari dua PPS di Putra Heights menggunakan perkhidmatan transit atas permintaan (DRT) ke sekolah mulai hari ini.

Sementara itu, pelajar Mohd Aidil Ashraf Mohd Nizam, 16, berkata beliau bangun seawal jam 5 pagi hari ini untuk bersiap ke sekolah dengan menggunakan perkhidamatan DRT.

[caption id="attachment_695389" align="aligncenter" width="745"] Mohd Aidil Ashraf Mohd Nizam, 16,[/caption]

“Bila tahu ada kenderaan untuk ke sekolah, rasa teruja. Baju dan buku saya selamat (dalam kejadian itu) jadi masih boleh pakai lagi,” katanya.

Terdahulu, pengurus besar Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) memaklumkan perkhidmatan DRT ke sekolah melibatkan 42 pelajar sekolah rendah dan 34 pelajar sekolah menengah dari 19 sekolah.

Nur Mohd Razali Abdullah berkata ia dijangka akan disediakan dalam tempoh dua minggu bergantung kepada pengoperasian PPS.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan agensi berkaitan mengambil tindakan segera bagi memastikan kebajikan pelajar terkesan akibat tragedi tersebut terpelihara, khususnya dalam aspek pendidikan dan kemudahan asas.

[caption id="attachment_695362" align="aligncenter" width="811"] Pelajar mangsa kebakaran saluran paip gas menaiki pengangkutan percuma Rapid KL On-Demand (ROD) ke sekolah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, Subang Jaya pada 7 April 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.