AGENDA

Israel serang Gaza, 21 pusat rawatan malnutrisi ditutup

6 Apr 2025, 3:08 PM
Israel serang Gaza, 21 pusat rawatan malnutrisi ditutup

RAMALLAH, 6 APRIL: Sebanyak 21 pusat rawatan malnutrisi di Gaza terpaksa ditutup berikutan serangan terbaharu tentera Israel dan arahan pemindahan yang dikeluarkan di kawasan terjejas, kata Jurucakap Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Kazem Abu Khalaf pada Ahad, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

Bercakap kepada pemberita, Abu Khalaf menjelaskan bahawa UNICEF sedang menunggu laporan daripada Suruhanjaya Klasifikasi Keselamatan Makanan di Semenanjung Gaza.

Beliau berkata Israel terus menutup lintasan sempadan ke Gaza, sekali gus menghalang kemasukan bantuan, bekalan perubatan, makanan tambahan bernutrisi dan barangan lain selama 35 hari.

Pada Sabtu, UNICEF menyatakan bahawa lebih satu juta kanak-kanak di Semenanjung Gaza telah dinafikan bantuan menyelamatkan nyawa selama lebih sebulan, sambil menegaskan bahawa tindakan berterusan menghalang kemasukan bantuan ke Gaza merupakan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan memberi kesan buruk kepada kanak-kanak.

Agensi PBB itu turut mengesahkan bahawa ribuan bungkusan bantuan masih menunggu untuk dibawa masuk ke Semenanjung Gaza dan menegaskan bantuan itu perlu dibenarkan masuk dengan segera. UNICEF juga memaklumkan bahawa bekalan makanan pelengkap untuk bayi di Gaza telah kehabisan, manakala bekalan susu sedia diminum hanya mencukupi untuk 400 kanak-kanak bagi tempoh sebulan.

-- BERNAMA-QNA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619