OLEH UFAIRAH TARMIDZI
SUBANG JAYA, 6 APRIL: Dato’ Menteri Besar menafikan mangsa kebakaran akibat letupan paip gas di Putra Heights yang ditempatkan di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Camelia disisihkan.
Sebaliknya, Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan bantuan dan sokongan yang diberikan Kerajaan Negeri adalah adil dan saksama kepada setiap mangsa yang terjejas akibat insiden tersebut.
“Saya lihat kelengkapan mencukupi, bantuan dan sokongan dari pusat khidmat juga ada.
“Jadi, bagi pihak Kerajaan Negeri, kami tidak mensisihkan mana-mana mangsa kerana bantuan dan kemudahan diberikan adalah secara adil kepada semua,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat mangsa kebakaran dari Kampung Kuala Sungai Baru di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Camelia disini, hari ini.
Menurut Amirudin, keadaan di PPS Dewan Camelia juga terkawal dengan kehadiran pegawai-pegawai dari pelbagai agensi seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) untuk memastikan segala bantuan diberikan kepada mangsa dengan segera.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan pihaknya sedang mengemas kini maklumat-maklumat mangsa yang terjejas sebelum bantuan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dapat disalurkan selewat-lewatnya esok.