AGENDA

Liga Super: Selangor raih tiga mata tewaskan Terengganu FC 1-0

6 Apr 2025, 1:34 AM
Liga Super: Selangor raih tiga mata tewaskan Terengganu FC 1-0

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Jaringan pemain sayap Selangor Alvin Fortes pada dua minit terakhir perlawanan memastikan pasukan Gergasi Merah meraih tiga mata apabila menewaskan Terengganu FC (TFC) 1-0 dalam aksi Liga Super semalam.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), tuan rumah memulakan perlawanan dengan garang apabila melancarkan beberapa percubaan berbahaya ke arah gawang lawan seawal permainan.

Namun, kecemerlangan penjaga gol TFC Rahadiazli Rahalim berjaya memastikan kubu skuad Penyu terus kebal daripada dibolosi.

Terengganu hampir membuka tirai jaringan pada penghujung babak pertama, namun rembatan pemain sayap Safawi Rasid pada minit ke-41 hanya sekadar menggegarkan tiang gol Selangor, menyaksikan kedua-dua pasukan melangkah ke bilik persalinan tanpa sebarang jaringan.

Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan menampilkan aksi seimbang apabila saling bertukar serangan bagi mencari gol pertama perlawanan.

Jaringan pertama perlawanan akhirnya berjaya diraih Selangor pada minit ke-88 menerusi Fortes yang menyambut hantaran lambung Faisal Halim sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan Rahadiazli untuk memastikan kemenangan mutlak 1-0 berpihak kepada Selangor.

Keputusan itu menyaksikan Selangor FC, kendalian Katsuhito Kinoshi, mengekalkan status sebagai naib juara musim ini selepas mengumpul 49 mata, manakala Terengganu pula berada di kedudukan keempat dengan 32 mata.

Sementara itu, di Stadium Paroi, Seremban, Penang FC menewaskan Negeri Sembilan FC 2-0.

Dua gol tersebut dijaringkan Rahmat Makasuf pada minit ke-13 dan sepakan penalti yang disempurnakan Rafael Vitor pada penghujung perlawanan, sekali gus mengecewakan pasukan tuan rumah.

Kemenangan Penang FC itu menyaksikan pasukan dari utara ITU kekal berada di tempat kesembilan dengan mengumpul 23 mata, manakala Negeri Sembilan menghuni tangga kedua tercorot dengan 13 mata.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619