ad
AGENDA

Kebakaran paip gas: Rumah musnah dibina semula, pesalah tidak akan dilindungi

5 Apr 2025, 12:35 PM
Kebakaran paip gas: Rumah musnah dibina semula, pesalah tidak akan dilindungi
Kebakaran paip gas: Rumah musnah dibina semula, pesalah tidak akan dilindungi

SHAH ALAM, 5 APRIL: Setakat hari ini, seramai 509 mangsa insiden letupan paip gas di Putra Heights berdaftar di dua pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia MBSJ.

Jumlah tersebut meningkat berbanding 308 keluarga pada dua hari lepas. Daripada jumlah itu, sebanyak 157 keluarga berlindung di PPS manakala 352 keluarga menetap di luar PPS atas usaha sendiri.

Berikut antara rangkuman laporan pada hari ini.

1. Rumah rosak 20 peratus selamat didiami.

Rumah yang mengalami kerosakan kurang 20 peratus akibat kebakaran paip gas dibenarkan untuk dihuni semula, kata ketua pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Datuk Nor Hisham Mohammad berkata pemeriksaan mendapati kerosakan kecil seperti cermin pecah dan kesan bahang ringan tidak menjejaskan struktur rumah yang berada lebih 150 meter dari lokasi kejadian. https://selangorkini.my/2025/04/bomba-rumah-rosak-kurang-20-peratus-dalam-kebakaran-paip-gas-selamat-dihuni/

2. Hampir 300 kereta sementara disediakan, mangsa terima baucar barangan elektrik

Kumpulan kedua terdiri 30 mangsa menerima kenderaan untuk kegunaan sementara selama sebulan daripada syarikat penjualan kereta Carro. Semalam seramai 25 mangsa telah menerima kenderaan sementara sumbangan Chery Malaysia.

Mangsa juga menerima e-baucar bernilai RM500 Panasonic Malaysia Sdn Bhd untuk pembelian peralatan elektrik. https://selangorkini.my/2025/04/lebih-200-kereta-sementara-untuk-mangsa-kebakaran-panasonic-tawar-baucar-barang-elektrik/

3. Pengangkutan khas untuk pelajar sekolah, bantuan akan diserah mulai Isnin

Dato' Menteri Besar berkata Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan menyediakan pengangkutan khas untuk membawa pelajar dari PPS ke 34 buah sekolah

Selain itu, Dato' Seri Amirudin memaklumkan semua bantuan akan diserahkan kepada mangsa bermula Isnin ini, membabitkan 509 keluarga yang telah berdaftar dengan PPS. https://selangorkini.my/2025/04/mb-pengangkutan-khas-bawa-pelajar-ke-sekolah-bantuan-keluarga-terjejas-disalur-mulai-isnin/

4. Status keselamatan kawasan kawah diketahui esok

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Nor Hisyam Mohammad berkata status keselamatan kawasan kawah kebakaran dijangka diketahui esok. https://selangorkini.my/2025/04/kerja-penilaian-keselamatan-kawasan-kawah-kebakaran-gas-dijangka-selesai-esok/

5. Rumah terbuka Aidilfitri Selangor dibatalkan

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari memaklumkan Rumah Terbuka Aidilfitri Madani 2025 peringkat negeri yang dijadualkan esok di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi dibatalkan.

Keputusan tersebut mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. https://selangorkini.my/2025/04/mb-sultan-perkenan-batal-rumah-terbuka-esok-makanan-disalur-kepada-pps-rumah-anak-yatim/

6. Pesalah tidak akan dilindungi, ulangi gesaan salur bukti gambar, video

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menegaskan pesalah tidak akan terlepas dan mengulangi gesaan kepada orang ramai yang mempunyai bukti gambar dan video supaya menyerahkan kepada pihak berkuasa. https://selangorkini.my/2025/04/kerajaan-negeri-tidak-lindungi-mana-mana-pihak-dalam-siasatan-putra-heights/

7. Kerajaan bantu bina semula rumah yang musnah

Kerajaan Persekutuan akan membantu membina semula semua rumah yang musnah sepenuhnya akibat insiden kebakaran paip gas.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan amat prihatin terhadap nasib semua mangsa dan usaha bantuan dilakukan secara menyeluruh, termasuk sokongan jangka panjang membina kediaman kekal. https://selangorkini.my/2025/04/kerajaan-bantu-bina-semula-rumah-mangsa-kebakaran-paip-gas/

8. Tabung Selangor Prihatin

Kerajaan Negeri mengalu-alukan sumbangan pelbagai pihak sama ada swasta, korporat mahupun individu kepada mangsa kebakaran di Putra Heights menerusi Tabung Selangor Prihatin. https://selangorkini.my/2025/04/tabung-selangor-prihatin-dibuka-ringan-beban-mangsa-kebakaran-paip-gas/

9. Agong lawat mangsa, serah sumbangan peribadi

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan melawat mangsa kebakaran saluran paip gas di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights.

Seri Paduka Baginda berkenan menyerahkan sumbangan peribadi RM1,000 menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor kepada setiap ketua keluarga. https://selangorkini.my/2025/04/agong-lawat-mangsa-kebakaran-paip-gas-serah-sumbangan-kepada-ketua-isi-rumah/

10. Proses audit Koridor Utiliti Selangor (Kusel) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) 

Dato' Menteri Besar berkata Kusel dan MBSJ sedang melalui proses audit susulan insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, proses siasatan tersebut dibuat sejak hari kedua tragedi berkenaan berlaku bagi melihat dan menilai projek yang didakwa terlibat. https://selangorkini.my/2025/04/mb-kusel-mbsj-diaudit-bagi-tujuan-siasatan-kebakaran-paip-gas/

11. Barang keperluan asas, makanan di PPS cukup untuk seminggu

Barangan keperluan asas dan makanan di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights setakat ini cukup untuk menampung keperluan mangsa selama seminggu.

Wakil Komuniti Sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagaimanapun berkata bekalan seperti lampin bayi masih kurang dan amat diperlukan ketika ini. https://selangorkini.my/2025/04/barangan-asas-makanan-di-pps-cukup-rujuk-jkm-sebelum-salur-bantuan/

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.