AGENDA

KKR sedia beri bantuan kepakaran teknikal kenal pasti punca letupan gas

4 Apr 2025, 2:48 AM
KKR sedia beri bantuan kepakaran teknikal kenal pasti punca letupan gas

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Kementerian Kerja Raya (KKR) sedia memberi bantuan terutamanya dalam bentuk nasihat serta kepakaran teknikal kepada pihak berkuasa, bagi mengenal pasti punca kejadian letupan gas di Putra Heights.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata beliau telah mengarahkan semua agensi di bawah kementeriannya yang terlibat secara langsung atau tidak, untuk memberi kerjasama penuh dalam membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan serta memastikan langkah-langkah pencegahan dapat diambil bagi mengelak insiden sama berulang.

“Keselamatan dan kesejahteraan rakyat adalah keutamaan dan saya yakin, semua pihak yang terlibat komited untuk memastikan siasatan penuh dapat dijalankan dengan telus dan menyeluruh.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) juga bersedia memberikan bantuan dalam bentuk nasihat serta kepakaran teknikal sekiranya diperlukan oleh pihak berkuasa,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.

Dalam pada itu, Nanta turut meminta orang ramai untuk memberi ruang kepada pihak berkuasa agar siasatan dapat berjalan dengan lancar dan menyeluruh.

“Saya mengikuti perkembangan insiden letupan gas di Putra Heights dengan rapat dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada pegawai-pegawai di KKR dan juga agensi terlibat.

“Kami akan terus memantau perkembangan siasatan ini dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan keadilan dan keselamatan awam terjamin,” katanya yang turut menzahirkan kesedihan dan simpati kepada semua pihak yang terkesan akibat kejadian itu.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619