AGENDA

Kawalan ketat ke Putra Heights, penduduk dibenar ambil dokumen penting

4 Apr 2025, 1:26 AM
Kawalan ketat ke Putra Heights, penduduk dibenar ambil dokumen penting

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Anggota polis dan penguat kuasa Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) masih mengawal ketat laluan masuk ke Jalan Putra Harmoni, Putra Height, Subang Jaya susulan kebakaran saluran paip gas, Selasa lepas.

Tinjauan Bernama di sekitar Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mendapati hanya anggota penguatkuasaan dan kakitangan agensi terlibat seperti Jabatan Pengaliran dan Saliran, Jabatan Kerja Raya dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dibenar memasuki kawasan itu selepas pemeriksaan oleh anggota polis.

Di sekitar kawasan PKTK dan Kuil Sri Maha Kaliamman Putra Heights, pengamal media juga turut 'berkampung' di khemah yang disediakan untuk membuat liputan.

Hari ini, mangsa kebakaran sekali lagi dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing mengikut gliliran untuk mengambil barangan keperluan serta dokumen penting.

Semalam, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata proses pemulihan kawasan terjejas dilaksanakan secara berperingkat selepas pemeriksaan tahap keselamatan selesai.

Sebanyak 85 rumah disahkan selamat dan penghuni dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing mulai semalam.

Amirudin dalam sidang media di Shah Alam turut memaklumkan bahawa proses siasatan punca kejadian terus dilaksanakan pasukan penyiasat melibatkan pelbagai agensi, dengan hasil laporan awal akan diketahui hari ini.

Kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa, menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Kebakaran turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi kejadian.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619