AGENDA

Pengeluaran roti Massimo alami gangguan sementara susulan kebakaran paip gas

3 Apr 2025, 12:45 PM
Pengeluaran roti Massimo alami gangguan sementara susulan kebakaran paip gas

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: The Italian Baker Sdn Bhd, pengeluar roti Massimo mengumumkan gangguan sementara terhadap pengeluaran produk bakerinya disebabkan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada Selasa lepas yang telah menjejaskan bekalan gas asli cecair (LNG) ke kilangnya.

Syarikat itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan bekalan produk bakerinya di pasaran mungkin terhad bermula esok sehingga diberitahu kelak.

“Kami akan terus memberikan maklumat terkini melalui media sosial. Untuk sebarang pertanyaan segera, sila hubungi khidmat pelanggan kami di 1800-22-6688,” menurut kenyataan itu.

Kebakaran dahsyat yang berlaku Selasa lepas menyebabkan api marak dan menjulang tinggi dengan suhu panas melampau yang memusnahkan deretan rumah dan harta benda, termasuk lebih daripada 300 kenderaan.

Setakat 8 pagi ini, 377 mangsa daripada 98 keluarga masih berada di dua pusat pemindahan sementara.

Daripada jumlah itu, 311 mangsa daripada 84 keluarga berada di Dewan Masjid Putra Heights dan 66 mangsa daripada 14 keluarga berada di Dewan Camelia.

Menurut Kementerian Kesihatan jumlah mangsa yang menerima rawatan kekal sama seperti semalam dengan 31 individu dirawat di hospital awam di Putrajaya, Serdang, Klang dan Kuala Lumpur, manakala 33 lagi dirawat di hospital swasta. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619