SUBANG JAYA, 3 APRIL: Kerajaan Negeri disyorkan melaksana simulasi kebakaran sebagai persediaan kepada penduduk untuk menghadapi situasi kecemasan.
Ahli Dewan Negeri Seri Serdang berkata inisiatif itu perlu memandangkan kebakaran boleh terjadi tanpa mengira waktu seperti yang berlaku di Putra Heights baru-baru ini.
[caption id="attachment_694700" align="aligncenter" width="812"] Ahli Dewan Negeri Seri Serdang Abbas Azmi[/caption]
"Selalunya kita buat simulasi banjir terutama di titik panas. Untuk kebakaran tidak pernah buat.
"Jadi ada keperluan untuk kita buat latihan dan saya yakin Dato’ Menteri Besar juga cakna hal ini,” kata Abbas Azmi kepada Media Selangor.
Ditemui di pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna Masjid Putra Height, Abbas berkata hampir 80 peratus mangsa merupakan penduduk DUN pentadbirannya.
“Hari ini pihak berkuasa antaranya bomba dan polis serta penduduk masuk ke kawasan perumahan mereka. Mana-mana rumah yang didapati selamat, pemiliknya akan dibenarkan pulang ke rumah. Bantuan susulan akan diberikan selepas ini,” katanya.
[caption id="attachment_694699" align="aligncenter" width="827"] Sukarelawan membantu mangsa kejadian kebakaran saluran paip gas memilih pakaian yang disumbangkan orang ramai ketika tinjauan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, Subang Jaya pada 3 April 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Sebelum ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor mengesahkan kebakaran melibatkan kebocoran saluran paip gas di Putra Heights, dengan anggaran panjang saluran terbakar 500 meter.
Dilaporkan api kebakaran paip gas berkenaan menjulang lebih 100 kaki (30 meter) ke udara menghasilan suhu api mencecah 1,000 darjah Celsius.
Susulan kejadian itu, 78 kediaman rosak sepenuhnya, termasuk 327 kenderaan di kawasan seluas 28 hektar meliputi dua lokaliti iaitu Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru.
[caption id="attachment_694583" align="aligncenter" width="976"] Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor giat memadamkan api di kediaman penduduk yang terbabit dalam kebakaran saluran paip gas di Taman Puchong Perdana, Puchong, Selangor pada 1 April 2025. Foto BERNAMA[/caption]