Oleh Ufairah Tarmidzi
PUTRA HEIGHTS, 2 APRIL: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dengan kerjasama KDEB Waste Management (KDEBWM) melaksanakan kerja pembersihan di kawasan kediaman terjejas akibat kebakaran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya.
Dato’ Bandarnya Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata proses membuang sisa kerosakan dijangka mengambil masa dua hari termasuk memastikan kawasan tersebut selamat sebelum membenarkan mangsa pulang ke kediaman.
“Proses pembersihan kita jangkajan selama dua hari. Insya-Allah kita bersihkan sebelum benarkan pemilik pulang melihat kediaman mereka.
"Selain itu, kita juga akan membuat semakan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengenai keadaan bekalan elektrik di kawasan terjejas,” katanya.
Mengulas lanjut, Amirul Azizan menyeru semua mangsa mendaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di pusat pemindahan sementara di Masjid Putra Heights dan Dewan Serbaguna MBSJ (Camelia) bagi mengelak tercicir menerima bantuan.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan segera sebanyak RM5,000 kepada pemilik rumah yang terjejas sepenuhnya dalam insiden itu.
Beliau yang melawat lokasi kebakaran dan pusat operasi turut mengumumkan bantuan sebanyak RM2,500 kepada lebih 100 pemilik rumah yang sebahagiannya rosak.
[caption id="attachment_694500" align="alignnone" width="697"] Salah seorang penduduk terjejas, Mohamad Shukri Suhaimi Bahshah, 33, mengambil barang peribadi selepas kediamannya terjejas akibat kebakaran saluran paip gas di Kampung Kuala Sungai Baru, pada 1 April 2025. Foto BERNAMA[/caption]