AGENDA

Petronas bekerjasama dengan kementerian, agensi berkaitan, salur bantuan keluarga terjejas

2 Apr 2025, 12:54 AM
Petronas bekerjasama dengan kementerian, agensi berkaitan, salur bantuan keluarga terjejas

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan bekerjasama dengan kementerian dan agensi yang berkaitan untuk menyalurkan sokongan yang bermakna kepada keluarga yang terkena impak akibat kebakaran gas di Putra Heights, Puchong, Selangor.

Syarikat minyak negara itu melalui satu kenyataan berkata anak syarikat tersenarainya, Petronas Gas Bhd, yang memiliki saluran paip yang terjejas, akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan agensi kerajaan untuk menilai impak penuh kejadian itu.

Pada masa yang sama, kumpulan itu juga secara proaktif mengambil semua langkah yang diperlukan bagi menjamin keselamatan bekalan gas.

“Untuk tujuan ini, pasukan berkaitan sedang bekerja keras untuk mengurangkan gangguan, melaksanakan pelan kontingensi termasuk memulihkan operasi dengan selamat serta efisien, dengan penyelarasan bersama pihak berkuasa dan agensi yang berkaitan.

“Seperti yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa lawatannya ke lokasi insiden itu, kami akan menyelaraskan secara aktif dengan kementerian-kementerian yang berkaitan serta agensi -agensi negeri dan persekutuan bagi memastikan usaha bantuan dilanjutkan dan sokongan bermakna digunakan dalam masa yang sangat sukar ini,” katanya

Petronas menegaskan keutamaan sekarang ini adalah memastikan keselamatan orang ramai termasuk memenuhi komitmennya untuk membantu mereka yang terkena dampak dan memelihara keselamatan bekalan gas sambil menyiasat penyebab kejadian itu.

Ia juga mengesahkan bahawa ketiga-tiga stesen petrol berhampiran sekitar insiden itu, PS Putra Heights, PS KM2 LDP dan PS Putra Bestari telah meneruskan operasi berikutan pelepasan dari pihak berkuasa yang berkaitan.

“Walaupun stesen-stesen ini tidak terjejas secara langsung, mereka ditutup sementara sebagai langkah berjaga-jaga selaras dengan protokol keselamatan kami dan dibuka semula selepas penilaian keselamatan menyeluruh selesai.” katanya.

Petronas menegaskan komitmennya yang berterusan untuk keselamatan dalam semua operasinya dan akan terus memberikan kemas kini dari semasa ke semasa apabila maklumat lebih banyak tersedia.

“Buat masa sekarang, kami merayu kerjasama dan kesabaran semua pihak yang terjejas ketika kami bertungkus-lumus bagi menangani keadaan semasa,” katanya lagi.

-- BERNAMA

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619