SHAH ALAM, 1 APRIL: Sekolah Antarabangsa Maple Leaf Kingsley di Subang Jaya turut terjejas teruk susulan kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights hari ini.
Kebakaran besar itu menyebabkan operasi sekolah terganggu dan kawasan sekitarnya dilitupi asap tebal, dengan api marak setinggi 500 meter sehingga boleh dilihat daripada jauh.
Difahamkan, pelajar yang menginap di asrama sekolah berkenaan telah dipindahkan keluar sebagai langkah keselamatan.
[caption id="attachment_694335" align="alignnone" width="767"] Pandangan kawasan perumah yang terjejas dari Mapley Leaf Kingsley International School berikutan kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya pada 1 April 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Tinjauan dari atas bangunan sekolah tersebut mendapati kebakaran memberi kesan serius kepada kawasan perumahan berhampiran. Untuk rekod setakat ini, sebanyak 49 rumah rosak dan 112 penduduk cedera.
Saluran paip gas milik Petronas yang terbakar ditutup dan diasingkan, manakala pihak bomba bersama agensi berkaitan masih meneruskan kerja pemadaman dan evakuasi penduduk.
Penduduk terjejas kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara yang dibuka di Masjid Putra Heights.