ad
BERITA UTAMA

Nostalgia kutip duit raya, Ungku Ismail kunjungi jiran tidak kenal

31 Mac 2025, 11:50 PM
Nostalgia kutip duit raya, Ungku Ismail kunjungi jiran tidak kenal
Nostalgia kutip duit raya, Ungku Ismail kunjungi jiran tidak kenal
Nostalgia kutip duit raya, Ungku Ismail kunjungi jiran tidak kenal
Nostalgia kutip duit raya, Ungku Ismail kunjungi jiran tidak kenal

Oleh Norrasyidah Arshad dan Siti Rohaizah Zainal

Tradisi pemberian duit raya pada zaman kanak-kanak antara kenangan yang kerap diimbau pelakon Ungku Ismail Aziz menjelangnya sambutan Aidilfitri.

Beliau masih terkenang kemeriahan berjalan kaki sekeliling taman perumahan bersama sahabat handai dan sepupu sepapat untuk mengutip duit raya. Mereka tidak kekok bertandang dan menikmati aneka juadah.

“Kami pergi ke taman-taman. Setiap rumah dapat duit raya walaupun rumah itu kami tidak kenal siapa tuannya. Dapat makan, dapat duit raya,” katanya.

Namun, memori tersebut hanya berlegar dalam ingatan calon kategori Pelakon Lelaki Terbaik Drama dalam Anugerah Skrin 2010 itu sahaja memandangkan tradisi tersebut kian pupus.

[caption id="attachment_694201" align="aligncenter" width="791"] Ungku Ismail Aziz muncul dalam telefilem raya terbitan Kerajaan Selangor berjudul Hanya Kita.[/caption]

“Itu antara kenangan manis ketika raya. Zaman kanak-kanak lebih kepada duit raya. Tapi sekarang tidak nampak budaya macam itu. Tidak ada langsung. Bukan sahaja kita tidak buat tetapi budak-budak sekarang pun tidak buat,” katanya yang kini berusia 38 tahun.

Ungku Ismail muncul dalam telefilem raya terbitan Kerajaan Selangor berjudul Hanya Kita. Beliau membawa watak Adam Sulaiman, lelaki yang menjaga anak saudaranya selepas kakak dan abangnya meninggal dunia.

Beliau menganggap watak tersebut tidak terlalu berat lantaran pernah memegang watak sama sekali gus memberikannya kelebihan untuk menjiwai lakonan.

"Sepanjang penggambaran, kami tidak berdepan sebarang cabaran besar melainkan cuaca panas. Semua berpeluh-peluh tapi semuanya okay,” katanya kepada Media Selangor baru-baru ini.

Seorang lagi pelakon utama telefilem itu Cristina Suzanne Stockstill pula tidak mahu mensia-siakan sambutan kali ini dengan bersua muka dengan ahli keluarga termasuk sanak saudara.

Mengakui sebelum ini tidak berpeluang melakukannya kerana terpaksa bertugas di perantauan sebagai pramugari, pelakon berdarah kacukan Melayu-Jerman mahu memanfaat kemeriahan kali ini.

“Makna sebenar hari raya apabila kita dapat bertemu saudara atau sesiapa sahaja yang jarang bersua, bermaafan antara satu sama lain. Ini sahaja peluang untuk bertemu mereka.

[caption id="attachment_694202" align="aligncenter" width="765"] Pelakon utama telefilem raya terbitan Kerajaan Selangor berjudul Hanya Kita, Cristina Suzanne Stockstill[/caption]

“Sejujurnya saya bersyukur dapat beraya bersama keluarga kerana ini yang saya tidak dapat buat ketika menjadi pramugari,” kata bekas model itu.

Bergandingan dengan Ungku Ismail, Cristina yang memegang watak Laila mengakui mudah serasi biarpun rakannya itu agak serius dan pendiam.

“Ini pertama kali kami digandingkan dan Ungku sangat memudahkan kerja walaupun beliau pendiam. Keserasian tidak sukar kerana kita tidak perlu banyak bercakap, cukup sekadar latihan dialog.

“Untuk memahami watak mudah. Cuma cabarannya ketika babak menaiki motosikal dengan saya membawa pembonceng. Saya risaukan keselamatannya,” katanya sambil mengajak orang ramai menonton karya tersebut.

“Selain memapar mesej kekeluargaan, mereka perlu tonton sendiri pelakon kanak-kanak yang membintangi telefilem ini. Sekarang susah hendak cari pelakon pelapis yang betul-betul berbakat.”

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.