AGENDA

Asean zahir solidariti, selaras bantuan kemanusiaan di Myanmar, Thailand

29 Mac 2025, 10:17 AM
Asean zahir solidariti, selaras bantuan kemanusiaan di Myanmar, Thailand

KUALA LUMPUR, 29 MAC: Menteri-menteri Luar ASEAN menyampaikan ucapan takziah serta simpati mendalam kepada rakyat Myanmar dan Thailand susulan gempa bumi dahsyat berukuran 7.7 pada skala Richter yang melanda tengah Myanmar pada Jumaat.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Sabtu, para menteri menyatakan bahawa bencana itu telah mengakibatkan kehilangan nyawa yang besar, kecederaan serta kemusnahan meluas, khususnya di Mandalay, Nay Pyi Taw, Bangkok, Chiang Mai dan kawasan sekitarnya.

“ASEAN menzahirkan solidariti dengan keluarga dan komuniti yang terkesan akibat gempa bumi ini serta kesannya,” menurut kenyataan itu.

Para menteri turut mengakui keperluan mendesak untuk bantuan kemanusiaan dan menegaskan bahawa ASEAN bersedia menyokong usaha bantuan serta pemulihan, termasuk melalui penempatan Pasukan Respons dan Penilaian Kecemasan ASEAN (ASEAN-ERAT), penggunaan Sistem Logistik Kecemasan Bencana ASEAN (DELSA) serta mobilisasi pasukan Mencari dan Menyelamat di Kawasan Bandar (USAR), berdasarkan keutamaan yang dikenal pasti oleh Myanmar dan Thailand.

“ASEAN menegaskan komitmen solidariti dan akan bekerjasama rapat dalam menyelaras bantuan kemanusiaan, menyokong serta memudahkan operasi bantuan, dan memastikan tindak balas kemanusiaan yang tepat pada masanya serta berkesan, dengan bantuan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre),” katanya lagiu.

Sementara itu, Malaysia, Indonesia dan Singapura telah menyatakan komitmen untuk membantu Myanmar dan Thailand dalam usaha pemulihan selepas bencana itu.

Malaysia akan menghantar pasukan Bantuan Kemanusiaan dan Pengurusan Bencana (HADR) seramai 50 anggota melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ke Yangon pada Ahad.

Singapura, melalui Kementerian Hal Ehwal Luar, mengumumkan kesediaannya menggerakkan Kontinjen Operasi Lionheart bagi operasi mencari dan menyelamat serta bantuan bencana di kawasan terjejas.

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, turut menyampaikan ucapan takziah serta menyatakan kesediaan Indonesia untuk membantu usaha pemulihan di Myanmar dan Thailand.

Setakat ini, gempa bumi berkenaan telah meragut 1,002 nyawa, mencederakan 2,376 orang serta menyebabkan 30 individu masih hilang, menurut Pasukan Penerangan Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar.

Banyak bangunan dilaporkan mengalami kerosakan dan operasi menyelamat sedang giat dijalankan, menurut laporan media antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619