AGENDA

Malaysia hantar bantuan kemanusiaan sertai operasi mencari, menyelamat di Myanmar, Thailand

29 Mac 2025, 2:19 AM
Malaysia hantar bantuan kemanusiaan sertai operasi mencari, menyelamat di Myanmar, Thailand

PUTRAJAYA, 29 MAC: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) digerakkan bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan paling terkesan akibat gempa bumi di Myanmar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata pasukan itu dijadual tiba di Yangon kira-kira 1 tengah hari ini.

“Pada masa sama, misi bantuan kemanusiaan ke Thailand juga sedang diselaras dan akan digerakkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan Malaysia menghantar dua pasukan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) ke Myanmar bagi menyokong usaha bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana susulan gempa bumi yang melanda tengah Myanmar, utara Thailand dan sebahagian selatan China.

Kenyataan itu berkata pasukan penilaian awal terdiri daripada 10 anggota Nadma akan berlepas ke Yangon hari ini bagi memberikan bantuan teknikal dan menjalankan penilaian keperluan di lokasi.

Pasukan kedua melibatkan 40 anggota dijadualkan berlepas esok yang memberi tumpuan kepada kawasan keutamaan yang dikenal pasti dalam penilaian awal.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619