AGENDA

Lima termasuk budak dua tahun maut dalam nahas babit empat kenderaan

28 Mac 2025, 2:57 AM
Lima termasuk budak dua tahun maut dalam nahas babit empat kenderaan
Lima termasuk budak dua tahun maut dalam nahas babit empat kenderaan

KLUANG, 28 MAC: Lima termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun, maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di KM58.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini, 11.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata kemalangan itu melibatkan sebuah lori jenis Volvo, kereta Toyota Camry, Proton X50 dan Honda Stepwagon Spada.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan terjadi apabila tayar hadapan lori yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur telah pecah, menyebabkannya hilang kawalan dan bergesel dengan Toyota Camry yang berada di arah yang sama.

“Akibat pergeseran itu, lori telah terbabas dan menyeberang ke laluan bertentangan, seterusnya berlanggar dengan dua kenderaan iaitu Proton X50 dan Honda Stepwagon Spada.

“Perlanggaran itu juga mengakibatkan Honda Stepwagon Spada terbakar namun kesemua mangsa dalam kenderaan sempat dikeluarkan orang ramai yang berada di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

[caption id="attachment_693568" align="aligncenter" width="747"] Keadaan kenderaan yang terbakar dalam kemalangan di KM58.1 Lebuhraya Utara Selatan, Kluang tengah malam pada 27 Mac 2025. Foto IPD Kluang[/caption]

Bahrin berkata mangsa yang meninggal dunia di lokasi ialah pemandu dan penumpang Proton X50, Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23, dan seorang lelaki berusia 20-an yang masih belum dikenali identitinya.

“Mangsa maut Honda Stepwagon Spada di lokasi pula ialah seorang kanak-kanak berusia dua tahun iaitu Mariam Nasaarudin. Pemandu dan penumpang hadapan Honda Stepwagon Spada yang juga ibu bapa kanak-kanak itu Nasaarudin Pardi, 36, dan Siti Khazira Bani, 35, meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

“Lapan lagi yang cedera dalam kemalangan itu dibawa ke hospital. Kesemua mangsa dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom di sini dan hospital di Kulai,” katanya.

Beliau berkata seorang lelaki berusia 35 tahun yang juga pemandu lori ditahan susulan kemalangan maut itu.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Renggam PBK II Shoromi Salih berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.48 malam dan seramai 13 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Operasi ini turut melibatkan sebuah jentera LFRT, sebuah FRT dan sebuah EMRS yang bertindak memadam kebakaran dan mengeluarkan mangsa yang telah disahkan meninggal dunia dan tersepit di dalam sebuah kenderaan,” katanya sambil menambah operasi ditamatkan pada pukul 1.24 pagi,” katanya

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619