AGENSI

Mais junjung titah Sultan ingatkan umat Islam ikut ajaran Ahli Sunnah

27 Mac 2025, 1:02 PM
Mais junjung titah Sultan ingatkan umat Islam ikut ajaran Ahli Sunnah
Mais junjung titah Sultan ingatkan umat Islam ikut ajaran Ahli Sunnah

SHAH ALAM, 27 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang mengingatkan umat Islam negeri ini mengikuti ajaran Islam berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pengerusinya Dato’ Setia Salehuddin Saidin berkata Mais dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terus memperkasa program pendidikan dan dakwah bagi memastikan kefahaman Islam mengikut mazhab itu dapat diamalkan seluruh umat Islam.

“Mais juga akan memastikan setiap dasar dan polisi berkaitan dengan hal ehwal agama Islam di Selangor ditambah baik.

“Mengukuhkan kedudukan Ahli Sunnah Wal Jamaah dibuat sama ada melalui pindaan undang-undang mahupun secara pentadbiran,” maklumnya menerusi kenyataan.

[caption id="attachment_690363" align="alignnone" width="956"] Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada senator Dato’ Setia Haji Salehuddin Saidin sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang baharu di Istana Alam Shah, Klang pada 6 Mac 2025. Foto Facebook Selangor Royal Office[/caption]

Salehuddin menambah Mais turut memandang serius titah Sultan Sharafuddin mengenai ancaman ajaran sesat yang boleh merosakkan akidah dan memecahbelahkan umat Islam.

“Kerjasama erat antara Mais dengan Jais, polis dan pihak berkuasa lain akan dipertingkatkan.

“Laporan penguatkuasaan secara berkala akan dibuat melalui jawatankuasa Mais bagi memastikan penguatkuasaan terhadap ajaran yang menyeleweng dapat dilaksanakan dengan efektif,” ujarnya.

Semalam, Sultan Sharafuddin mengingatkan umat Islam khususnya di Selangor agar sentiasa memperkukuh iman dan akidah supaya tidak mudah terpesong dengan sebarang ajaran atau fahaman yang bercanggah.

Titah Baginda, sebarang percanggahan dari fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah hendaklah dicegah kerana akan membangkitkan kekeliruan kepada umat Islam sehingga mengakibatkan perpecahan.

Baginda juga mahu pemantauan berterusan dilaksana bagi membendung ajaran sesat, khususnya terhadap kumpulan yang telah berdepan tindakan undang-undang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619