SHAH ALAM, 27 MAC: Kerajaan Negeri bersama Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menganjurkan pelbagai program sepanjang Ramadan ini.
EXCO Hal Ehwal Agama Islam berkata seramai 75,207 asnaf dan fakir miskin dibantu LZS termasuk baik pulih infrastruktur dan pengimarahan masjid seluruh Selangor dengan peruntukan hampir RM35.3 juta.
Menurut Dr Mohammad Fahmi Ngah, Jais turut menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Ihya Ramadan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bersama rakyat dan sumbangan serta perasmian masjid baharu.
“Majlis Ihya' ini dibuat untuk mendekatkan pimpinan negeri Selangor dengan umat Islam serta merapatkan hubungan antara penjawat awam.
“Malah, penganjuran program sepanjang Ramadan ini membuktikan komitmen berterusan antara Kerajaan Negeri, Mais dan Jais dalam memartabatkan syiar Islam serta memastikan kebajikan umat Islam di negeri ini terus dijaga,” katanya menerusi kenyataan.
[caption id="attachment_691540" align="alignnone" width="832"] Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin bersalaman dengan tetamu pada Majlis Berbuka Puasa dan sumbangan duit raya kepada asnaf di Masjid Al Ehsan Kampung Tumbuk Darat Tanjong Sepat pada 14 Mac 2025. Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]
Mohammad Fahmi menambah pihaknya turut menganjurkan Program Kembara Masjid Selangor 2025 (KEMAS) di sembilan masjid terpilih di Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Petaling.
Jelasnya, program itu bukan sahaja bertujuan menggalakkan anak muda solat berjemaah di masjid tetapi memberi peluang pemimpin turun padang melihat keadaan rumah ibadat berkenaan.
Beberapa aktiviti turut dianjurkan bersama komuniti antaranya seperti bersahur, subuh berjemaah, gotong-royong, pembaikan infrastruktur masjid, edaran bubur lambuk dan sumbangan, katanya.
“Selain itu,beberapa aktiviti dilaksana antaranya solat terawih, tadarus komuniti dan qiyamulail perdana. Program Selangor Beriktikaf turut dianjurkan bersama dengan Pertubuhan IKRAM Selangor.
“Program iktikaf ini merangkumi ceramah agama, aktiviti kanak-kanak, solat berjemaah, majlis iftar, terawih, qiyamulail yang melibatkan ahli keluarga, anak muda dan ahli jawatankuasa masjid setempat di 20 masjid terpilih di Petaling,” katanya.