AGENDA

Lesen syarikat umrah Hejira Travel digantung hingga 31 Ogos

27 Mac 2025, 5:15 AM
Lesen syarikat umrah Hejira Travel digantung hingga 31 Ogos

PUTRAJAYA, 27 MAC: Lesen syarikat umrah, Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd digantung berkuat kuasa pada 28 Februari lepas hingga 31 Ogos ini, menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

Motac dalam kenyataan hari ini memaklumkan sepanjang tempoh berkenaan, syarikat itu hendaklah menyelesaikan semua perjalanan yang ditempah atau dibayar dan tidak membuat sebarang urus niaga baharu, termasuk tidak membuat pengiklanan jualan pakej.

Syarikat itu juga diarahkan untuk memulangkan semula bayaran serta dokumen milik jemaah umrah yang memilih untuk membatalkan tempahan, dengan serta-merta.

"Motac memandang serius sebarang pelanggaran peruntukan undang-undang oleh pengusahaan pelancongan berlesen demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia Madani," menurut kenyataan itu.

Pada 14 Januari lepas, Hejira Travel and Tours Holding Sdn Bhd didakwa gagal menguruskan perjalanan lebih 300 jemaah di bawah kendaliannya ke Tanah Suci.

Dalam pada itu, Motac dalam kenyataan berasingan memaklumkan selaras dengan Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992, keputusan telah diambil untuk membatalkan lesen syarikat Borneovac Travel Sdn Bhd berkuat kuasa pada 28 Februari lepas.

Syarikat berkenaan sebelum ini didakwa mengoperasikan pakej memancing menggunakan bot laju sehingga memasuki perairan Filipina secara haram pada 1 September 2024 dan menyebabkan 15 individu termasuk warganegara Malaysia dan China ditahan pihak berkuasa negara itu.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619